
JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar terharu dengan kiriman kad ucapan daripada lebih 200 kanak-kanak sempena hari keputeraan baginda minggu lalu.
Kad-kad ucapan berkenaan dikongsi baginda di Facebook rasminya hari ini.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kanak-kanak ini atas tanda ingatan mereka. Saya akan menggantung kad ini di rumah sebagai peringatan kasih dan sayang terhadap kanak-kanak ini,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Kad ucapan daripada kanak-kanak itu merupakan inisiatif kompleks beli-belah Paradigm Mall Johor Bahru di sini sempena hari keputeraan baginda yang jatuh pada 23 Mac lalu.

Penghasilan kad ucapan itu merupakan sebahagian aktiviti Festival Bangsa Johor yang diadakan selama sebulan bagi meraikan hari keputeraan Sultan Johor sekali gus berjaya menarik penyertaan lebih 200 kanak-kanak pelbagai kaum di negeri itu.
Kanak-kanak tersebut yang menyertai aktiviti itu menghabiskan masa lebih sejam di lobi pusat beli-belah pada 23 Mac lalu untuk melukis dan mencipta kad ucapan tersebut khusus untuk baginda.
Lukisan-lukisan menarik dan terbaik dihasilkan mereka diserahkan kepada Sultan Ibrahim yang terkejut dan gembira menerimanya.- MalaysiaGazette