Home Politik Young Sefura dapat undi tinggi beri motivasi Melayu berada dalam DAP –...

Young Sefura dapat undi tinggi beri motivasi Melayu berada dalam DAP – Shahredzan

Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR –  Keupayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menjadi satu-satunya calon Melayu yang dipilih perwakilan DAP menduduki Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) memberi motivasi kepada anak-anak Melayu untuk terus berada dalam parti itu.

Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan, 39 yang turut bertanding dalam pemilihan itu namun tewas berkata, pemilihan Young Syefura merupakan satu perkembangan baik.

Katanya, antara faktor Young Sefura dipilih kerana ketokohan dan kelayakan tersendiri.

“Ini bermaksud memang mereka nampak Young Sefura itu seorang wanita Melayu bertudung, berkebolehan. Mereka berikan dia peluang.

“Jadi pada saya itu adalah perjalanan biasa dalam parti politik dan mungkin ia memerlukan masa sedikit untuk tokoh-tokoh lain, tokoh Melayu dalam DAP untuk diterima.

“Tetapi saya masih melihat ini sebagai satu perkembangan yang baik di mana orang seperti Young Sefura dapat begitu banyak undi untuk masuk ke CEC. Tak silap saya dalam top 10, ini memberikan motivasi kepada anak-anak Melayu lain untuk terus berada dalam DAP,” katanya.

Seramai 10 calon Melayu bertanding jawatan CEC termasuk Syahredzan Johan,  Abdul Aziz Bari, Abdul Aziz Isa Marindo, Azaha Abdul Rani Mohammad Basar Umar, Sheikh Umar Bagharib Ali,  Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Wan Hamidi Hamid dan Zairil Khir Johari.

Bagaimanapun dua daripada mereka iaitu Syahredzan dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji kemudian dilantik menjadi anggota CEC.

“Tapi untuk kata mungkin kenapa calon Melayu lain tak dapat masuk dan sebagainya, saya tidak boleh komen tentang orang lain.

“Tetapi diri saya sendiri, saya rasakan saya tidak dapat masuk mungkin saya masih baru dalam parti. Dan orang mungkin tidak kenal saya lagi dan sebagainya.

“Sebab itu bila diberi peluang jadi lantikan dalam CEC, saya ambil sebab saya lihat itu sebagai satu peluang yang baik untuk mengenali dengan lebih baik orang dalam parti dan memberi platform kepada saya sendiri,” kata Syahredzan.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Skop MG kendalian Haslina Ar Kamaludin bertajuk Kenapa saya pilih DAP malam tadi. – MalaysiaGazette