KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Adam Adli Abd Halim menawarkan diri sebagai calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam muda, Muhamad Kamil Abdul Munim pula menyatakan hasrat mengisi jawatan Naib Ketua AMK.
Perkembangan terbaharu itu dinyatakan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut mereka, pasukan penuh yang terdiri daripada tiga orang calon Naib Ketua dan 20 calon Exco AMK serta lima teras di bawah gabungan yang dinamakan sebagai SEANGKATAN pula akan diumumkan tidak lama lagi.
Kelima-lima teras itu bakal dijadikan prinsip dan panduan dalam menggerakkan kempen kali ini.
“Atas semangat kebersamaan dan kekeluargaan, kami berharap Pemilihan KEADILAN 2022 kali ini dapat berlangsung dengan penuh harmoni dan ukhwah, sesuai matlamat besar untuk mengukuhkan semula parti dan perjuangan kita bersama.
“Dari Utara ke Selatan, Timur ke Barat; bersama-sama kita nyalakan kembali kekuatan Parti Keadilan Rakyat. Tanggungjawab besar mengangkat agenda reformasi dan suara rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang tidak terletak pada orang lain, melainkan kita sendiri.
“Akhir kalam, apa sekali pun yang kita usahakan, apa pun cabaran yang perlu kita tempuhi, kalau pun berselisih dalam memilih, kita semua adalah SEANGKATAN – ANGKATAN MUDA KEADILAN,” katanya.
Menurut Adam Adli dan Muhamad Kamil, Pemilihan Keadilan 2022 adalah usaha terbesar untuk memperkukuhkan kembali kekuatan parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 yang hampir pasti akan berlangsung dalam masa terdekat.
Mereka berkata, AMK adalah barisan paling hadapan parti yang harus bersedia, kukuh, berani, progresif, dan segar.
“Berhadapan Pilihan Raya Umum akan datang, ia harus menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi.
“Untuk mencapai tujuan di atas, bakat-bakat muda, lama dan baharu yang mempunyai bukan sahaja cita-cita sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu Angkatan Muda Keadilan. Inilah cabaran yang harus kita sahut,” katanya. – MalaysiaGazette