Home Nasional MAFI fokus tanaman jagung tempatan elak kebergantungan import

MAFI fokus tanaman jagung tempatan elak kebergantungan import

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berucap pada Majlis Pelancaran Jubli Emas NAFAS ke-50 di NAFAS, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2022.

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang memberikan fokus terhadap tanaman jagung tempatan sebagai usaha mengelak kebergantungan import makanan itu dari luar.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ketika ini kebergantungan import bahan itu sangat besar dan pendekatan terhadap tanaman jagung mempunyai kapasiti untuk dilaksanakan secara domestik.

“Sebab itu kita perlu ada olahan dasar dan bila bercakap tentang itu insentif dan juga galakan yang perlu dibuat oleh kerajaan bagi membangunkan penanaman jagung adalah secara besar besaran.

“Jadi, kita tak boleh biarkan, konflik yang berlaku di luar sana pandemik Covid-19 mengajar kita untuk bersiap diri mencukupkan bekalan (makanan) dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Pertanian dan Indsutri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, jagung merupakan komponen penting dalam industri ternakan.

Katanya, negara mempunyai kapasiti luas untuk mengeluarkan jagung tetapi perhatian terhadapnya terlalu kurang.

Justeru beliau berkata, kerajaan kini memberi lebih perhatian agar pihak swasta terlibat sama dalam merancakkan penanaman konsep baharu atau pendekatan baharu dalam mengeluarkan jagung tempatan.

“Kita sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak swasta yang mahu terlibat dalam industri ini. Ketika ini sambutan terhadapnya amat positif,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ronald memberitahu, jualan tanaman bagi satu tan jagung adalah RM1,900. – MalaysiaGazette