Home Nasional Remaja hanyut ditermui tersangkut batang kayu

Remaja hanyut ditermui tersangkut batang kayu

Mayat Muhammad Farmirul Muhammad Fauzi, 14 tahun ditemui dalam misi pencarian agensi penyelamat bersama orang kampung

KUANTAN – Mayat seorang remaja lelaki yang dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Loji Air Felda Mempaga, Bentong ditemui tersangkut pada kayu di tepi sungai itu, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kejadian hasil pencarian orang kampung bersama pasukan penyelamat.

“Pihak polis bertindak selepas menerima panggilan daripada orang awam, sepasukan polis dari Balai Polis Lurah Bilut yang hadir ke tempat kejadian mendapati seorang remaja berusia 14 tahun telah dihanyutkan air sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, mangsa, Muhammad Farmirul Muhammad Fauzi bersama tujuh rakannya berusia dalam lingkungan sembilan hingga 14 tahun keluar memancing di Sungai Loji Air Felda Mempaga pada jam 2.00 petang.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah memberitahu kepada salah seorang rakan bahawa dia mahu mandi di sungai tersebut.

Semasa mangsa sedang mandi tiba-tiba dia dihanyutkan air yang deras, ujarnya.

“Rakan-rakan mangsa cuba membantu tetapi tidak berjaya. Pasukan mencari dan menyelamat berusaha mencari mangsa namun tidak menemuinya.

“Pada 30 Mac 2022 lebih kurang jam 12  tengah malam, atas kerjasama orang kampung Felda Mempaga telah menjumpai mangsa yang tersangkut di sebatang kayu tepi Sungai Loji Air Felda Mempaga,” katanya.

Menurut Zaiham, sesi pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette