Home Politik Thiban tanding jawatan Naib Presiden PKR

Thiban tanding jawatan Naib Presiden PKR

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Thiban Subbramaniam

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu, Mei ini.

Thiban berkata, idea untuk bertanding jawatan itu bukan datang daripada dirinya yang sudah berkecimpung dalam politik selama 16 tahun, sebaliknya ia datang daripada akar umbi.

Katantya, mereka memberinya semangat dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan masyarakat India memandangkan PKR seperti tidak mempunyai pemimpin India selepas Langkah Sheraton dua tahun lepas.

“Bukan saya yang hendak bertanding Naib Presiden, saya sendiri tidak pernah terfikir sebenarnya. Memang ada kata saya ini begitu ambitious atau terlalu cepat cuba mendaki tangga walaupun masih ada lagi yang senior di hadapan saya.

“Tetapi penyokong saya, ahli-ahli parti dalam kalangan akar umbi yang menyuruh saya untuk bertanding. Malah tidak melampau kalau saya katakan bahawa saya dapat restu dari pimpinan atasan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Thiban, beliau akan menggunakan platform AMK bagi mengenali dan memahami kehendak akar umbi.

Tambahnya, seseorang yang mahu melakukan reformasi perlu berana dan tahu risikonya dan beliau bersedia untuk mengambil risiko dalam memperjuangkan nasib kaum India.

Antara nama-nama besar yang bakal bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR ialah Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Permatang Pauh,  Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan; Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Pemilihan parti bagi penggal 2022-2025 akan berlangsung dari 13-18 Mei.

Thiban lberkata, beliau menyokong kepimpinan Naib Presiden, Rafizi Ramli sejak dulu malah telah mengadakan pertemuan dengannya minggu lepas.

“Memartabatkan golongan muda adalah antara agenda Rafizi sejak dulu lagi malah kempen Ayuh Malaysia oleh beliau bukan sahaja untuk bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi PRU tetapi juga menampilkan tokoh muda bagi menjuarai pelbagai isu. Saya dari awal sokong kempen ini,” ujarnya.

Thiban memberitahu, banyak yang boleh pelajari daripada Pilihan Raya Negeri Johor terutama pengundi muda dan pada umur 34 tahun bukan penghalang untuk beliau bertanding jawatan Naib Presiden.

Katanya, apa yang penting ialah rekod kerja cemerlang dalam menangani sesuatu isu dan permasalahan rakyat serta bawa suara akar umbi ke pengetahuan pemimpin atasan. -MalaysiaGazette