KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pensyarah mengeluarkan perkataan yang disifatkan sebagai menghina seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada golongan B40 hingga tular di media sosial disifatkan sebagai luar norma dan tidak beretika.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia Rasydan Mohd. Hassan berkata, tindakan pensyarah itu, Profesor Dr. Ts Roshana Takim tidak wajar kerana bersifat menghina dan memperlekehkan golongan B40.
Jelas beliau, UiTM telah dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.
Rasydan dalam satu kenyataan meminta pengurusan UiTM menyiasat kejadian yang tular di media sosial dan dianggap telah merosakkan imej universiti.
Katanya, pensyarah terbabit perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.
“Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti keramat ini
“Pensyarah tersebut perlulah memahami keadaan negara yang sedang berhadapan dengan situasi pandemik yang menyebabkan hampir semua rakyat di Malaysia berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil.
“Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah di zahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya.
Video pensyarah berkenaan memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer walaupun telah berada di semester kelima tersebar sejak semalam.
Menimbulkan kemarahan rakyat bahawa pensyarah berkenaan seolah-olah tidak bersimpati dengan kedudukan ekonomi keluarga pelajar berkenaan.
Ibu pelajar terbabit telah meninggal dunia manakala bapanya tidak bekerja.
Tanpa bertanya mengapa bapa pelajar tersebut tidak keluar mencari rezeki dan sama ada adik beradik yang lain telah bekerja atau tidak, pensyarah berkenaan terus menyarankan pelajar tersebut meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer.
Dalam perbualan itu, pensyarah berkenaan turut menyatakan dia tidak boleh ‘duduk’ dengan golongan B40 kerana kumpulan tersebut lebih mementingkan perkara lain berbanding pelajaran.
“Kau cakap dengan kakak kau kalau dia ada gelang emas pergi juga gelang emas pergi beli komputer. Aku cakap dengan kamu kalau kau ada kakak ada gelang emas pergi jualkan gelang emas beli komputer.
“Patut kau tak boleh belajar dengan baik kerana kau tak ada komputer. Lepas ni aku akan ajar kau excell pasal itu kau akan menjadi dropout student. Semesta lima kau tak ada komputer.
“Aku sanggup tak ada pakaian, aku ada lima sahaja pakaian *** computer is very very important. Hanya RM800 sahaja beli komputer. Apa masalah kau?
“Pasal itu aku tak boleh duduk orang dengan B40 ya. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” katanya.-MalaysiaGazette