KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan bagi memasukkan peruntukan baharu Perkara 119A telah diluluskan di Dewan Negara hari ini melalui satu undi belah bahagi.
RUU itu mengecualikan raja pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan dan mana-mana orang lain daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan RUU itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Negara dengan 50 daripada 58 mengundi bersetuju.
“Pembentangan ini susulan kepada sokongan yang diperoleh ketika sesi Dewan Rakyat 24 Mac lalu yang juga mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli di mana 178 dari 222 ahli Dewan Rakyat bersetuju terhadap pindaan tersebut.
“Pindaan ini juga selaras dengan pelaksanaan kelayakan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, yang mana setiap warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang memenuhi syarat kelayakan didaftarkan secara automatik tanpa sebarang pengecualian,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Menurut Dr. Wan Junaidi, Perkara 119A itu telah dibawa bagi mengecualikan raja pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan dan mana-mana orang lain daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik supaya kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Bagaimanapun, katanya, pilihan sama ada untuk mengundi atau tidak tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.
Kata beliau, mesyuarat telah diadakan dengan wakil dari setiap negeri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas manakala Majlis Raja-Raja pada 9 dan 10 Mac lalu telah mempertimbangkan serta memperkenankan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.
“Saya ucapkan terima kasih dan menghargai sokongan semua Ahli Dewan Negara kepada pindaan ini yang akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan dan diwartakan.
“Selanjutnya, senarai lengkap pengecualian setiap negeri akan dibawa melalui suatu perintah yang akan diwartakan kemudian selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya. – MalaysiaGazette