Home Nasional Kepakaran China dalam perubatan tradisional beri manfaat kepada kita – KJ

Kepakaran China dalam perubatan tradisional beri manfaat kepada kita – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menunjukkan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Bidang Perubatan Tradisional antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China bersama Pesuruhjaya Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan, Dr Yu Wen Ming secara dalam talian di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Pengetahuan dan kepakaran luas yang dimiliki China dalam perubatan tradisional sudah tentu akan dapat memberi manfaat kepada Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia sangat bermanfaat dalam aktiviti penyelidikan termasuklah dari aspek pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

“Hasil kajian yang berkenaan akan membantu kerajaan Malaysia dalam menetapkan dasar yang bersesuaian untuk mengurangkan beban penyakit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandun persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang perubatan tradisional antara Malaysia dan China di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menunjukkan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Bidang Perubatan Tradisional antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2022.

MoU tersebut telah ditandatangani  Khairy  dan Komisioner Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan (NATCM) Dr. Yu Wenming.

Terdahulu, menurut Khairy, Malaysia dan China menandatangani MoU dalam perubatan tradisional hari ini komited untuk membangunkan lagi bidang perubatan tradisional.

Ia lanjutan daripada MoU asal yang ditandatangani sebelum ini pada 7 November 2011 itu rata-rata bertujuan menggalak, mempermudah dan mempromosi kerjasama antara kedua-dua negara baik dari segi amalan, bahan mentah dan produk, pendidikan dan latihan serta penyelidikan.

“Kementerian Kesihatan berharap rangkaian komunikasi yang berkesan dapat terus dimantapkan bagi tujuan pertukaran maklumat teknikal, saintifik dan kawal selia yang seterusnya akan memudahkan proses pembuatan dasar dan strategi yang bersesuaian dalam memastikan penggunaan perkhidmatan dan produk perubatan tradisional yang selamat dan berkesan untuk kesejahteraan orang ramai.

“MoU ini juga adalah adalah selaras dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Kerajaan Malaysia yang mengiktirafkan sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional serta membolehkan negara bergerak ke arah kesihatan yang lebih baik,”  katanya lagi.

Khairy yakin dengan usaha dan komitmen daripada kedua-dua negara, hubungan kerjasama dua hala akan menjadi lebih kukuh dengan saling memahami dan menghormati warisan masing-masing dalam perubatan tradisional.

MoU sama telah ditandatangani pada 7 November 2011 di Beijing yang mana Malaysia telah diwakili oleh Menteri Kesihatan pada ketika itu, Tan Sri Liow Tiong Lai manakala kerajaan China pula diwakili bekas Pesuruhjaya Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan (NATCM), Dr Wang Guoqiang.

MoU itu sebelum ini dikenali sebagai State Administration of Traditional Chinese Medicine ini telah berkuat kuasa sehingga 2021.

Dalam pada itu, Khairy berkata, inisiatif belt and road juga telah turut meningkatkan hubungan serantau dan kolaborasi antara Malaysia dan China terutamanya bagi isu berkaitan kesihatan.

“Belt and Road Initiative ini telah menjadi platform dalam mempertingkatkan keupayaan pengendalian isu kecemasan kesihatan awam di peringkat serantau melalui perkongsian atau pertukaran maklumat berkenaan wabak, kaedah pencegahan atau intervensi, serta latihan kepada anggota kesihatan dengan lebih berkesan.

“Semoga hubungan erat ini akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette