Home Nasional Kerajaan belum luluskan bayaran kepada pengendali MySejahtera – Khairy

Kerajaan belum luluskan bayaran kepada pengendali MySejahtera – Khairy

Kerajaan belum meluluskan atau membuat apa-apa pembayaran kepada pengendali aplikasi MySejahtera. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum meluluskan atau membuat apa-apa pembayaran kepada pengendali aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM), akan memastikan sebarang keputusan berhubung kos pembayaran akan mengambil kira kepentingan negara dan rakyat.

“Justeru, rundingan yang masih berjalan ketika ini akan diusahakan sebaik mungkin untuk mencapai situasi menang-menang, yang seterusnya akan memastikan isu ini dapat mencapai kata putus.

“Harga yang saya dengar di pasaran RM300 juta lebih, saya boleh nyatakan di sini bahawa harga yang kita runding ini jauh kurang daripada RM300 juta. Kita akan dapat satu kos yang sebenar yang menjaga kepentingan awam,” katanya ketika menggulung usul perbahasan berkaitan aplikasi MySejahtera pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Kerajaan kini dalam peringkat akhir berhubung perkara itu, dan ia hampir ke tahap untuk menandatangani kontrak, katanya menjawab celahan Senator Fadhlina Sidek yang ingin tahu status rundingan berhubung bayaran kepada pengendali MySejahtera.- BERNAMA