Home Politik KPT perlu cari solusi terbaik isu video pensyarah UiTM – Farhash

KPT perlu cari solusi terbaik isu video pensyarah UiTM – Farhash

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak seharusnya menuding jari antara satu sama lain berhubung isu video tular membabitkan pensyarah UiTM Cawangan Perak, Prof Ts Dr Roshana Takim dan seorang daripadanya penuntutnya baru-baru ini.

Ini kerana menurut bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, kes itu sudah pun dipertanggungjawabkan kepada KPT untuk menyelesaikannya.

“Pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak seharusnya  menunding jari di antara satu sama lain apabila pihak UiTM menyerahkan keputusan isu ini kepada pihak kementerian.

“KPT perlu menyatakan solusi terbaik yang dibincangkan supaya isu seperti ini tidak berulang kembali dan jaminan terhadap sensitiviti maruah pelajar selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, tular satu video klip berdurasi satu minit 45 saat tular memaparkan pensyarah wanita itu memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita berkenaan turut meminta pelajar terbabit meminta kakaknya menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuknya.

Dalam pada itu, Farhash berkata, isu mengenai video berkenaan bukan berdasarkan kepada status individu yang menghina pelajar tersebut tetapi sistem pendidikan dan jurang ekonomi dalam kalangan pelajar yang kian melebar jika dilihat dengan kerangka yang lebih luas.

“Demi untuk melepaskan diri daripada dihukum, jangan jadikan ketegasan dalam mendidik sebagai alasan dan modal untuk menghina realiti kehidupan sebenar rakyat,” tambahnya.

Awal hari ini, Pengurusan Eksekutif Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengeluarkan kenyataan membabitkan pensyarah kontrak serta penuntut iaitu tiada tindakan diambil terhadap pensyarah berkenaan atau kontraknya dibatalkan.

Menerusi surat ‘Laporan Kronologi’ isu video tular hari ini keputusan itu dicapai pada mesyuarat berkenaan semalam, selepas kedua-dua pihak dipanggil bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan itu terbabit.

Untuk rekod, surat tiga muka surat berkaitan keputusan berkenaan tular di media sosial hari ini.

Antara kandungan surat itu adalah pihak pengurusan tidak mengambil apa-apa tindakan kerana pensyarah dan pelajar yang terlibat telah bertemu dan berbincang dan mengambil keputusan untuk mengharmonikan keadaan.

Keputusan turut diambil dengan menamatkan kontrak pensyarah ini yang telah diperbaharui pada 15 Mac 2022 di mana pihak UiTM boleh menamatkan lantikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan tawaran. – MalaysiaGazette