Home Nasional Meena didakwa memandu mabuk hingga rempuh restoran

Meena didakwa memandu mabuk hingga rempuh restoran

Anggota polis membawa suspek kes kemalangan yang melibatkan kereta merempuh pelanggan ketika makan di restoran pada 20 Mac lalu tiba di mahkamah untuk didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Honda HRV mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan hilang kawalan seterusnya mengakibatkan kematian seorang pelanggan sebuah restoran di Jalan Klang Lama.

Berdasarkan pertuduhan, K. Meena Sundram berusia 58 tahun pada 20 Mac lebih kurang pukul 8.50 malam telah memandu dalam keadaan mabuk kemudian merempuh sebuah restoran.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1) b Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun  tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 tidak lebih RM100,000.

Meena juga boleh hilang kelayakan lesen memandu sekiranya didapati bersalah.

Mahkamah Majistret Jenayah kemudian memerintahkan Meena yang membuat pengakuan tidak bersalah membayar jaminan sebanyak RM12,000.

Lesen memandunya turut digantung dan diarahkan untuk diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Sebagai rekod, seramai 11 individu cedera dalam kejadian rempuhan sebuah restoran oleh Meena yang dikatakan memandu dibawah pengaruh alkohol pada 20 Mac baru-baru ini.

Dilaporkan, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan, dua pejalan kaki dan lapan pelanggan yang sedang makan di restoran berkenaan.- MalaysiaGazette