Home Nasional Melaka cadang ‘penjara’ pelajar sekolah bermasalah – Exco

Melaka cadang ‘penjara’ pelajar sekolah bermasalah – Exco

Dr Muhamad Akmal (tengah) ketika merasmikan Pameran Metamorfosis Di Sebalik Tembok di Muzium Penjara, Banda Hilir, Melaka, hari ini.

MELAKA – Melaka bercadang ‘memenjarakan’ mana-mana pelajar sekolah bermasalah di negeri ini sebagai salah satu usaha untuk menginsafkan mereka daripada terus terlibat dalam gejala sosial.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh  akan mencadangkan perkara itu di dalam Mesyuarat Exco (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri) esok sebagai salah satu pendekatan psikologi mendidik generasi muda itu.

Menurutnya, cadangan itu perlu disegerakan memandangkan masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah termasuk kes pergaduhan melibatkan guru dan pelajar.

“Saya akan bincang dalam mesyuarat Exco esok untuk kita mulakan ini di sekolah-sekolah yang kita kenal pasti anak-anaknya mempunyai masalah sosial yang kritikal.

“Kita akan kerjasama dengan Muzium Penjara Malaysia untuk bawa mereka ke sini bukan sekadar belajar, tapi merasai sendiri, duduk dalam penjara selama 20 minit, rasa keadaan sunyi dan sempit yang mana saya percaya usaha ini akan berjaya mengubah fikiran mereka.

“Kalau kita rotan, hukuman lain kurang berkesan, tapi kalau kita bagi dia (pelajar bermasalah) rasa sendiri duduk dalam penjara, tengok orang (video) kena sebat, saya percaya ia akan mengubah persepsi mereka sebelum melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Metamorfosis Di Sebalik Tembok di Muzium Penjara, Banda Hilir hari ini.

Hadir sama, Pengarah Muzium Penjara Malaysia Mohd Saifullah Md Akhir dan Pengarah Penjara Melaka Roslan Mohamed.

Dr Muhamad Akmal (tengah) melihat Pameran Metamorfosis Di Sebalik Tembok di Muzium Penjara, Banda Hilir, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Muhamad Akmal berkata, daripada segi perubatan, cara mendidik terbaik adalah melalui psikologi bermaksud jika mereka melakukan kesalahan, akan dimasukkan ke dalam penjara di mana segala kebebasan akan ditarik.

“Sama seperti waktu saya kecil dahulu, banyak melihat keadaan di dalam penjara, ia telah mengubah persepsi kalau nak buat sesuatu perkara jahat, timbul rasa takut sebab dah lihat dan rasa bagaimana situasi penjara.

“Saya percaya pendekatan psikologi ini akan berjaya mengubah mereka menjadi lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette