Home Seni Hidup Pulih strok, Ah Fad Raihan mahu kembali berdakwah

Pulih strok, Ah Fad Raihan mahu kembali berdakwah

Penyanyi Nasyid, Zulfadli Mustaza atau lebih dikenali dengan Ah Fad Raihan ketika bersesi fotografi pada Pelancaran Majlis Bufet 1001 Ramadan dan Iftar Kumpulan Nasyid di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA, Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 MAC 2022.

SEPANG – Bukan mudah bagi seseorang individu normal menerima hakikat apabila kehidupan berubah sekelip mata selepas diserang strok gara-gara pendarahan di otak.

Itu ujian yang dilalui penyanyi nasyid solo Ah Fad pada akhir November tahun lalu yang lumpuh separuh badan selama empat bulan.

Namun berkat doa semua pihak terutama kedua ibu bapanya, Ah Fad, 37, atau nama sebenarnya Zulfadli Mustaza kini semakin pulih sebanyak 80 peratus walaupun pergerakannya agak terhad.

Bapa kepada tiga orang anak yang pernah menganggotai kumpulan Raiha pada 2006 selama 10 tahun tetap bersyukur kerana diberi peluang nikmat hidup kedua hari ini.

“Saya bersyukur Allah SWT kerana memberi peluang nikmat hidup bersama keluarga terutama mendapat isteri yang baik. Terima kasih juga kepada ibu bapa saya atas doa mereka yang turut menjadi kekuatan saya semakin pulih.

“Walaupun tidak pulih sepenuhnya lagi, saya sudah mampu kembali membuat kerja berbanding tidak boleh berjalan ketika mula diserang strok.

“Apa pun ujian yang diberikan Allah SWT ini memberi keuntungan kepada saya sebagai laluan terus ke syurga.

“Selepas diberi sihat semula, apa yang hendak lakukan adalah meneruskan kerja dakwah selain menjadi inspirasi kepada pesakit strok lain,” katanya.

Penyanyi Nasyid, Zulfadli Mustaza atau lebih dikenali dengan Ah Fad Raihan bersesi gambar bersama kumpulan nasyid ketika Pelancaran Majlis Bufet 1001 Ramadan dan Iftar Kumpulan Nasyid di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA, Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 MAC 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Majlis Bufet 1001 Ramadan dan Iftar Bersama Kumpulan Nasyid di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA di sini semalam.

Mengimbas insiden diserang strok itu, Ah Fad memberitahu, bacaan tekanan darahnya tinggi ketika itu melebihi paras 140 ke atas yang menyebakan pendarahan lebih teruk di bahagian otak sebelah kiri.

Kata beliau, semasa kejadian, tangan dan kaki kanannya tidak merasa apa-apa serta tidak boleh angkat.

“Saya bersyukur kerana doktor pada awalnya memberitahu saya mungkin tidak boleh menyanyi hampir setahun dan berdepan kesukaran untuk mengeluarkan suara untuk bercakap.

“Namun proses pemulihan saya agak walaupun adakala pemikiran saya agak lambat untuk melakukan sesuatu kerja,” katanya.

Mengulas aktiviti seninya selepas ini, Ah Fad menganggap rezeki apabila dipilih untuk mengendalikan Iftar Bersama Kumpulan Nasyid sepanjang Ramadan ini di di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA.

Katanya, majlis iftar itu akan melibatkan  ramai kumpulan artis nasyid terkenal tanah air antaranya Rabbani, In-Team, Saujana pada hujung minggu manakala beliau sendiri akan membuat persembahan pada Isnin hingga Khamis.

Ujarnya, program yang dirancang bermula dengan kuliah sebelum berbuka puasa, azan Maghrib oleh artis terlibat, solat Maghrib berjemaah, persembahan selama sejam, solat Isyak dan tarawih. – MalaysiaGazette

Penyanyi Nasyid, Zulfadli Mustaza atau lebih dikenali dengan Ah Fad Raihan ketika bersesi fotografi pada Pelancaran Majlis Buffey 1001 Ramadan dan Iftar Kumpulan Nasyid di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA, Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 MAC 2022.