SEPANG – Selepas pembukaan pintu sempadan negara mulai hari ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan kira-kira 10,000 pengembara luar negara dijadualkan tiba pintu masuk udara negara hari ini.
Menurut menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, jumlah itu daripada 110 penerbangan yang akan sudah dan akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.
“Sejak malam tadi, sudah ada lima penerbangan yang mendarat, ada lagi yang akan mendarat. Kalau dikira di KLIA kira-kira 10,000 pelancong akan tiba.
“Kita bukan bercakap mengenai KLIA, klia2 tapi kita juga ada di Bukit Kayu Hitam yang menunggu begitu juga di Langkawi, Johor dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media selepas menyambut ketibaan pesawat Etihad Airqways EY418 yang tiba di KLIA jam 10.16 di sini pagi ini.
Seramai 283 penumpang yang terdiri daripada pelancong antarabangsa malah rakyat Malaysia turut berada dalam pesawat tersebut.
Menurut Nancy, jumlah itu tidak termasuk pelancong yang memasuki negara ini menerusi jalan darat.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membuka pintu sempadannya kepada negara asing hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata, MOTAC menyasarkan perolehan berjumlah RM8.6 bilion daripada sektor pelancongan yang kian rancak di negara tahun ini.
Sasaran itu diletakkan selepas beberapa negara jiran yang turut membuka pintu sempadan negara masing-masing.
“Kita optimis jumah itu akan berubah dalam masa terdekat kerana apabila Singapura buka sempadan mereka, kita akan mudah cecah jutaan dalam masa dua minggu. Daripada negara lain juga kerana banyak pesawat yang akan menedarat tidak lama lagi.
“Buat masa ini, sasaran kita adalah dua juta pelancong dan saya rasa dalam masa sebulan kita akan kemaskini sasaran itu.
“Kita mungkin dapat lebih daripada itu, untuk buat masa ini kita sedang meneliti sasaran dua juta pelancong dan dalam masa tiga bulan kita harap dapat cecah sasaran itu.
“Kita harap juga akan memperoleh RM8.6 bilion seperti yang kita peroleh sebelum pandemik,” katanya dalam sidang media yang sama. – MalaysiaGazette