KUALA LUMPUR – Kegagalan dalam bisnes bedak Arab suatu ketika dahulu hampir membuat ahli perniagaan, Fatimah Zaharah Mohd Zahib berputus asa.
Ketika itu, wanita yang menetap di Kampung Bonggol Donas, Terengganu itu akur pengeluaran pasaran bedak Arab tiruan dari China menyebabkan jualannya mula merosot.
Malah, pelbagai liku-liku hidup lain yang menerpa dalam hidupnya sebelum berada pada tahap sekarang.
“Saya berkahwin semasa tahun pertama pengajian di sebuah kolej di Kedah dalam bidang syariah sekitar 2010. Suami ketika itu belajar dalam bidang tahfiz.
“Semasa belajar, kami terpaksa bersusah payah mencari duit poket meneruskan pengajian selain bantuan pinjaman pendidikan. Kami sendiri jana pendapatan dengan menjual mainan kanak-kanak selepas habis waktu kuliah.
“Selepas tamat belajar, saya dapat peluang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah. Tapi komitmen menjadi guru itu hanya sementara. Habis kontrak saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Suami waktu itu pun sudah ada kerja dengan bergelar ustaz,” katanya.
Bagi Fatimah, dia percaya ujian dan liku-liku hidup mematangkan diri.
“Saya setuju kalau ada berpandangan golongan wanita ini susah sikit hendak kenal erti putus asa. Kalau dia sudah mula buat sesuatu, usaha itu akan berterusan sampai nampak hasil.
“Ketika menjadi suri rumah, saya banyak berfikir sejenak dan cuba mencari ruang motivasi diri. Sampai bila nak mengharap duit daripada gaji suami. Peruntukan duit itu hendsk bayar ansuran kereta, rumah dan belanja harian.
“Kadang-kadang sampai tahap terpaksa catu duit belanja sementara menanti duit gaji suami masuk setiap hujung bulan. Malah terpaksa berhutang sebab berhijrah ke ibu kota KL. Mujur kami belum ada rezeki menimang anak, kalau tidak tanggungan itu lagi berat,” katanya yang kini sudah kembali menetap di Terengganu.
Nasib dan kehidupan Fatimah bagaimanapun berubah selepas menyertai pasukan perniagaan jenama Nurraysa pada tahun 2015.
Bangkit daripada kegagalan silam, Fatimah tahun lalu membuat jualan RM7.4 juta.
“Saya bermula sebagai dropship. Saya harus berterima kasih kepada jenama itu kerana menggalakkan orang ramai berniaga tanpa modal. Bukan itu sahaja jenama itu juga memudahkan peniaga kecil dengan menguruskan stok sehingga pengeposan. Malah mereka bimbing orang macam saya sampai berjaya.
“Ogos tahun lalu dalam mendepani era pandemik Covid-19 boleh dikatakan kemuncak apabila saya berjaya mencapai RM1 juta dalam tempoh sebulan. Jumlah jualan keseluruhan tahun 2021 juga mencatat angka RM7.4 Juta.
“Hasrat membantu suami (Mohd Ridhuan Hambali) pun tercapai kerana dia tidak bekerja lagi. Dia banyak menyokong serta membantu saya dari belakang.
“Saya juga berjaya memiliki kereta Toyota Alphard dan rumah idaman dengan pengubahsuaian ratusan ribu ringgit hasil 100 peratus duit berniaga dengan jenama itu,” katanya yang turut dihadiahkan Toyota Zellfire ZG bernilai RM330,000 secara percuma dari ibu pejabat Nurraysa. – MalaysiaGazette