KUALA LUMPUR – Masalah air yang menjadi isu di Wilayah Persekutuan Labuan dianggap paling teruk di Malaysia.
Ini kerana, sepanjang tempoh 20 hari pada Mac lepas, pengguna di Labuan menghadapi masalah bekalan air berikutan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sebanyak empat hari, kata Persatuan Wira Air, Fatin Fariza Ab Halim.
“Bayangkan jika hampir setiap hari kita tidak menerima bekalan air Wilayah Persekutuan Labuan telah dipilih sebagai kawasan strategik negara bagi menarik minat pelabur luar negara melabur ke dalam Malaysia.
“Satu kawasan yang di war-war kan kepada dunia luar sebagai Hub Pelaburan Malaysia yang sepatutnya menjadi sesuatu yang dibanggakan dan gah di rantau ini, sebenarnya menyembunyikan rahsia masalah bekalan air yang merupakan perkara paling asas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Fatin Fariza berkata, bagaimana hendak menarik pelaburan luar jika pelabur yang datang ke Labuan melalui pengalaman air dicatu dan tiada bekalan air.
“Adakah ini tanggapan yang ingin diberikan kepada pelabur luar? Apakah masih strategik Malaysia ini sebagai hab pelaburan luar? soalnya.
Beliau mendakwa, punca utama masalah air di Labuan adalah kerana sistem perpaipan di pulau itu sudah usang dengan rata-rata paip berumur antraa 30 tahun hingga 40 tahun dan sudah sampai masa untuk diganti dengan paip baharu.
Katanya, masalah tidak akan selesai jika hanya kerap menampal dan membaiki kawasan paip yang bocor.
“Dalam hal ini Kementerian Wilayah Persekutuan memainkan peranan yang penting. Jika 70 peratus dari sebulan penduduk tidak mendapat bekalan air, ini adalah sangat kritikal.
“Dimanakan peruntukan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantu Jabatan Bekalan Air Labuan?” katanya.
Tambah beliau, bajet 2022 memperuntukkan RM670 billion kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dengan RM64 juta adalah untuk Perbadanan Labuan.
Tidak dinafikan penukaran paip-paip lama itu akan menelan kos yang besar sehingga RM1 billion, katanya.
“Wilayah Persekutuan Labuan adalah hub pelaburan Malaysia dan perlulah kita menjaga imej negeri ini sebagai hub pelaburan negara.
“Wira Air menuntut Kementerian Wilayah memandang berat isu air di Labuan dan mencari penyelesaian jangka panjang dengan menukar semua paip lama ini dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette