PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses membangunkan satu Kertas Putih bagi menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penambahbaikan itu merangkumi perkhidmatan kepada pelanggan terutama rakyat Malaysia baik daripada segi skim tugasan serta kebajikan warga KKM.
“Dokumen ini dibangunkan dan akan dibentang di Parlimen tidak lama lagi agar segala saranan serta reformasi kesihatan yang dirancang kalis masa depan iaitu akan tetap dilaksanakan tidak kira siapa yang akan menerajui kementerian ini pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKM tahun 2021 di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Harjeet Singh.
Menurut Khairy, penjawat awam adalah aset kepada kerajaan dan mereka juga bertanggungjawab untuk menentukan jatuh bangun masa depan kementerian tersebut.
Beliau yakin bahawa imej dan prestasi KKM akan berada pada tahap yang tinggi jika warganya secara kolektif melaksanakan kerja berpasukan dalam menyumbangkan perkhidmatan yang sejajar dengan slogan KKM “Kami Sedia Membantu”.
Ujarnya, warga KKM tidak boleh kekal selesa pada suatu tahap pencapaian dan perlu berhadapan serta menangani perubahan persekitaran.
“Ekspektasi pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan kita perlu melaksanakan pembaharuan yang berterusan agar memenuhi permintaan dan harapan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Khairy berkata, warga KKM telah memainkan peranan penting dalam keupayaan negara memasuki fasa peralihan ke endemik hari ini.
“Alhamdulillah, kita semua boleh dikatakan telah melakukan tugas dengan berkesan namun ia belum berakhir.
“Kita perlu terus istiqamah agar negara benar-benar boleh diisyitihar melangkah ke fasa endemik nanti. Selain mempersiapkan orang ramai to mind condition them to really take care of their health – we must first condition our minds to get to that phase.
“Insya-Allah, masa-masa sukar dan mencabar ini akan berlalu kelak,” tambahnya. – MalaysiaGazette