GEORGE TOWN – MCA menjangkakan ‘angin perubahan’ melanda Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan polemik politik terkini yang akan membantu Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Setiausaha MCA Pulau Pinang, Yeoh Chin Kah berkata, ia bukan hanya berdasarkan lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri tersebut pada minggu lalu yang dilihat membawa perkembangan positif, tetapi juga trend pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri baru-baru ini.
Jelas beliau, golongan muda khususnya mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun lebih cenderung menyokong BN dan ia terbukti pada PRN Johor.
“Kami menjangkakan golongan muda akan membantu mengalihkan undi kepada BN di negeri ini.
“Ia susulan golongan muda tidak terpengaruh dengan helah Pakatan Harapan berbanding pengundi berusia 30 hingga 40 tahun yang ‘termakan’ dengan dakwaan mereka pada perhimpunan Bersih,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Chin Kah berkata, pihaknya tidak boleh menyatakan peratusan yang hadir pada majlis Najib di negeri ini merupakan peratusan pengundi.
“Kita kena faham sikap orang Cina yang mana ramai dalam kalangan mereka ‘senyap’ tapi akan menunjukkan sokongan sebenar ketika mengundi nanti.
“Cuma apa yang boleh saya beritahu akan ada perubahan berlaku di negeri ini pada PRU akan datang,” kata beliau.
Pada Jumaat dan Sabtu lalu, Najib berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI).
Selain berjumpa dengan pemimpin UMNO negeri beliau juga meluangkan masa menemui masyarakat Pulau Pinang terutama mereka yang berketurunan Cina. – MalaysiaGazette