Home Nasional SPPP perlu ikhlas sokong cadangan laluan ketiga P.Pinang

SPPP perlu ikhlas sokong cadangan laluan ketiga P.Pinang

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) harus mengintegrasikan reka bentuk link ketiga dalam perancangan pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata demikian susulan sokongan dinyatakan SPPP bagi link ketiga iaitu pembinaan terowong bawah dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam didakwa seolah tyidak ikhlas apabila SPPP meletakkan pelbagai syarat terhadap kerajaan negeri untuk meneruskan projek tersebut.

Kata beliau, SPPP yang baru memulakan perancangan projek pembesaran pelabuhan mereka sepatutnya perlu mengambilkira jajaran sedia ada yang sudah dikongsi dan dilibat urus bersama pihak mereka sejak tahun 2015.

“Selepas draf kajian kebolehlaksanaan siap pada akhir tahun 2019, laporan itu sudah pun diedar kepada  semua agensi dan jabatan berkaitan termasuk SPPP.

“Sepertimana yang dijelaskan perunding teknikal dalam mesyuarat itu, jajaran Link Ketiga termasuk pulau buatan yang menjadi laluan masuk dan keluar terowong berkenaan tidak boleh diubah lagi atas  dasar teknikal seperti kecerunan atau pun gradient terowong ke arah pulau buatan.

“Ini juga bermaksud bahawa kedalaman 23 meter yang turut diminta oleh SPPP dalam kenyataannya adalah mustahil dapat dicapai di sekitar kawasan pulau buatan itu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Antara syarat yang dinyatakan mengenai jajaran pulau buatan yang akan menjadi laluan masuk dan keluar bagi terowong itu ialah SPPP meminta supaya lokasi pulau berkenaan dipindahkan merapat ke pesisir pantai bagi mengelak pemanjangan dermaga tambahan NBCT yang sedang dirancang.

Selain itu, SPPP juga meminta supaya kedalaman minimum yang diperlukan bagi terowong ialah 23 meter di bawah aras dasar laut.

“Sehubungan itu, sekiranya SPPP benar-benar ikhlas menyokong projek Link Ketiga oleh kerajaan negeri, maka merekalah yang sepatutnya mengintegrasikan reka bentuk link berkenaan dalam perancangan pembesaran Pelabuhan NBCT dan bukan sebaliknya,” katanya lagi.

Projek Link Ketiga merupakan projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bertujuan menyediakan rangkaian sistem trafik lebih efektif di bahagian pulau.  – MalaysiaGazette