KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengundang kemarahan masyarakat berikutan kenyataannya berkaitan golongan B40 telah ‘direhatkan’ sementara daripada tugasan.
Jabatan Komunikasi UiTM berkata, Lembaga Pengarah Universiti telah membuat ketetapan tersebut dalam mesyuarat semalam.
Katanya, pensyarah terbabit, Profesor Dr. Roshana Takim mula ‘berehat’ hari ini sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh pihak universiti.
“Keputusan ini dibuat adalah bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu UiTM memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan maklumat sulit universiti hingga menjejaskan imej dan nama baik serta boleh menggugat keselamatan warga universiti.
Menurutnya, universiti itu juga akan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan.
“UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.
“Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasakan peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian,” katanya.
Dr. Roshana menjadi tumpuan ramai selepas video pensyarah tersebut memarahi seorang pelajar yang tidak mempunyai komputer menjadi tular di media sosial.
Dalam video itu, Dr. Rohana terlepas cakap bahawa beliau tidak suka ‘duduk’ dengan golongan B40 kerana kumpulan itu lebih mementingkan perkara lain.
Sementara itu, di media sosial masyarakat mula bersimpati terhadap Dr. Rohana selepas berlaku perkongsian ‘laporan kronologi’ yang didakwa hasil siasatan daripada UiTM.
Dalam laporan tersebut, beberapa fakta tidak sama seperti yang didakwa pelajar terbabit sehingga mengundang simpati warganet terhadap Dr. Roshana.
Malah dalam ruangan komen Facebook Universiti Teknologi Mara – Media Rasmi terdapat luahan masyarakat terhadap profesor itu.
“Semoga Allah permudahkan urusan profesor di dunia dan akhirat. Semoga pelajar berkenaan dan mahasiswa mahasiswi menghargai nasihat dan teguran meskipun telinga kamu panas, hati kamu sakit.
“Mesej profesor itu jelas, untuk berjaya bukan senang, mesti ada pengorbanan. Mesti ada jalan sukar dilalui dan jangan jadikan kemiskinan alasan utk sentiasa di bawah,” komen Wan Suryani.
Bagaimanapun sehingga kini UiTM tidak membuat penafian sama ada laporan kronologi itu benar atau palsu. – MalaysiaGazette