KUALA LUMPUR – Penyanyi nasyid dan komposer, Daqmie dilantik sebagai jurucakap Jus Kurma Ajwa Jenama Barriq dalam memperkenalkan produk tersebut kepada pengguna bermula sepanjang Ramadan ini.
Penyanyi lagu Tangis Sebatang Tamar itu memberitahu, dia bersetuju menerima tawaran menjadi duta produk tersebut bukan kerana bayaran tapi lebih tertarik untuk membantu usahawan yang menjual makanan sunah.
“Sebenarnya saya telah dirisik pengasas produk Ahmad Sabri Muhammad untuk menjadi duta produk ini sejak setahun lalu. Saya terima tawarannya bukan sebab dibayar mahal atau apa. Bab bayaran itu perkara kedua.
“Saya bersetuju kerana tertarik dengan produk yang dihasilkan iaitu jus kurma. Kita semua sedia maklumkan yang kurma itu adalah makanan sunah dan pasti memberi barakah kepada yang menikmatinya.
“Niat saya adalah untuk membantu dan memberi sokongan kepada usahawan Muslim yang mengeluarkan produk berkaitan dengan makanan barakah untuk kesihatan seperti kurma dan madu itu.
“Lagipun dalam keadaan sekarang kita perlukan makanan seperti itu, jadi kita kena sokong bisnes tersebut. Bila ada sokongan dan kita bantu, tentulah akan dapat kewangan,” katanya yang dilantik sebagai jurucakap untuk tempoh dua tahun.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Majlis Bufet 1001 Ramadan dan Iftar Bersama Kumpulan Nasyid di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA di sini baru-baru ini.
Tambah Daqmie, disebabkan dia sudah sinonim dengan tamar, maka itu juga merupakan salah satu sebab dia bersetuju untuk bekerjasama dengan jenama tersebut.
“Menjadi jurucakap produk, macam biasalah tugas kita kena bercakap dan mempromosi kepada orang ramai tentang kelebihan dan keistimewaan produk tersebut. Semua itu boleh dilakukan menerusi komunikasi, iklan atau pemasaran.
“Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepada saya itu,” katanya terus terang.
Menariknya, Daqmie juga tidak menolak kemungkinan menghasilkan lagu untuk jenama tersebut sebagai salah satu strategi pemasaran bagi memudahkan orang ramai, ejen dan stokis mengenali produk tersebut.
“Marketing paling mudah adalah menerusi lagu, jika dipinta, insya-Allah saya akan buat kerana cara itu memudahkan semua pihak yang terlibat dalam mempromosi dan menjual jus kurma Ajwa ini. Bila kita buat lagu akan memudahkan mereka menjual.
“Sebelum setuju jadi jurucakap, saya terlebih dahulu merasai jus kurma Ajwa ini. Pada saya, rasanya memang sedap dan sedia untuk diminum. Tak perlu nak bancuh-bancuh lagi. Kalau nak kurangkan manis, boleh tambah air. Tekak saya okey saja dengan rasa yang sedia ada itu,” katanya.
Sementara itu, Daqmie menganggap rezekinya apabila dipilih menyertai Iftar Bersama Kumpulan Nasyid sepanjang Ramadan ini di di Movenpick Hotel dan Konvensyen Centre KLIA.
Katanya, majlis iftar itu akan melibatkan ramai kumpulan artis nasyid terkenal tanah air antaranya Rabbani, In-Team, Saujana, dan Fitris haris pada hujung minggu manakala Ah Fad akan membuat persembahan pada Isnin hingga Khamis.
Ujarnya, program yang dirancang bermula dengan kuliah sebelum berbuka puasa, azan Maghrib oleh artis terlibat, solat Maghrib berjemaah, persembahan selama sejam, solat Isyak dan tarawih. – MalaysiaGazette