KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan sebanyak 48 notis berjumlah RM15,2000 atas kesalahan tidak mematuhi Akta Makanan 1983.
Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya menyita 1,374 produk makanan bernilai RM10,084.82 kerana tidak mematuhi akta tersebut.
Sebanyak 118 premis perniagaan seperti pasar raya, kedai runcit dan premis makanan di seluruh negeri telah diperiksa dan notis dikeluarkan hasil daripada operasi pelabelan bermula 30 hingga 31 Mac lalu.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah makanan yang dijual tidak mempunyai label seperti yang diperuntukan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Terdapat juga label yang tidak mempunyai nama sebutan sebenar produk makanan seperti peruntukan yang di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Kesalahan label yang tidak mempunyai nama sebutan sebenar produk makanan seperti peruntukan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Selain itu, makanan yang diimport dan dijual di pasaran tempatan juga didapati menggunakan bahasa asing seperti Korea, Cina dan Thailand sebagai label produk mereka.
“Terdapat juga produk yang dibuat di Malaysia tetapi menggunakan bahasa Inggeris pada label produk mereka,” katanya.
Nor Azimi menasihati pengeluar produk makanan supaya mematuhi semua kehendak pelabelan yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta Makanan 1983. – MalaysiaGazette