GEORGE TOWN – Bukan setakat proses air soya depan tandas malah plastik yang digunakan untuk membungkus air itu dipenuhi najis tikus.
Itulah keadaan sebuah kilang memproses air soya di Jalan Batu Lanchang, Jelutong di sini ketika diserbu sepasukan pegawai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sini hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKNPP, Inspektor Kesihatan Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya mendapati pemilik kilang tersebut langsung tidak mempraktikkan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).
Jelas beliau, pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat perkakasan yang kotor, tidak digunakan serta tidak disimpan menyebabkan kehadiran tikus dan lipas.
“Kalau kita lihat keadaan kilang ini memang jijik dan meloyakan dengan bau hancing, lantai berlumut selain lambakan najis tikus di beberapa tempat dalam kilang terbabit.
“Selain itu, kehadiran lipas dan tikus di premis ini menunjukkan persekitaran yang tidak bersih dan kita bimbang makanan yang diproses akan tercemar sekaligus menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Mohd Wazir, kilang tersebut pernah diserbu pada tahun 2019 dan dikenakan kompaun namun pemeriksaan hari ini menunjukkan pemiliknya seolah-olah tidak serik dikenakan tindakan.
“Susulan itu, serbuan hari ini kita kenakan tiga kompaun serta notis penutupan premis sehingga 16 April mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Difahamkan kilang soya itu sudah beroperasi selama 10 tahun dan soya yang dihasilkan untuk pasaran tempatan.
Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan, sebuah kilang memproses kuetiau di Jelutong di sini juga turut diarahkan tutup selama 14 hari bagi proses pembersihan.
Jelas Mohd Wazir, pemeriksaan mendapati lantai premis berkenaan dalam keadaan berminyak selain persekitaran yang tidak memuaskan.
“Terdapat minyak tepu yang tidak dibersihkan pada mesin memproses kuetiau selain penemuan najis tikus di beberapa bahagian premis.
“Tidak cukup itu, kilang tersebut menggunakan logo makanan selamat tanggungan industri (MeSTI) pada pembungkusan sedangkan sijil tersebut sudah tamat tempoh dua tahun lalu.
“Pemilik selalu memberi alasan mendakwa sukar menjaga kebersihan berikutan kekurangan pekerja dan sebagainya namun kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini kerana ia membabitkan kesihatan orang awam,” tegas Mohd Wazir. – MalaysiaGazette