Home Nasional Mayat Orang Asli lima hari hilang ditemui

Mayat Orang Asli lima hari hilang ditemui

Mayat wanita Orang Asli yang hilang lima hari lalu selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat di Kampung Sungai Ubi, Cameron Highlands, Pahang ditemukan pada hari ini.

KUANTAN – Mayat seorang wanita Orang Asli yang hilang lima hari lalu selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat di Kampung Sungai Ubi, Cameron Highlands dekat sini akhirnya ditemui hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemui pukul 11.45 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

Mayat mangsa, Mariam Bertampan, 62, kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat dihentikan selepas mayat mangsa berjaya ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Selasa lalu, pihak penyelamat menerima panggilan mengenai kejadian tersebut di mana keadian berlaku semasa hujan lebat.

Operasi mencari dan menyelamat wanita warga emas itu yang dipercayai dibawa arus deras akibat banjir kilat dilakukan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands. – MalaysiaGazette