Home Seni Hidup Rabbani kembali sibuk Ramadan ini

Rabbani kembali sibuk Ramadan ini

Kumpulan Rabbani.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua tahun negara dilanda pandemik Covic -19 dan semalam mula melangkah ke fasa peralihan endemik, kumpulan nasyid terunggul tanah air,  Rabbani terus giat menyusun kegiatan seni mereka.

Bermula esok hingga 27 April ini, mereka akan menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di D’Saji Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur di mana Bufet Ramadan tahun ini bertemakan Ramadan Kareem Güzel berkonsepkan masakan dari Turki dan Malay Authentic.

Mewakili rakan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, kumpulan nasyid itu kini kembali sibuk dan sepanjang Mac lalu, jadual kerja mereka penuh.

“Alhamdulillah, selepas kita diuji cabaran lebih dua tahun, keadaan semakin pulih walaupun kita masih perlu berhati-hati untuk terus menghalang penularan Covic-19.

“Dengan kepadatan kerja,  Rabbani  tidak leka dalam penjagaan kesihatan. Pada masa masa terluang kami akan melakukan aktiviti riadah untuk terus kekal sihat dan cergas apatah lagi selepas lama ‘berehat’ pada musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu,” katanya.

Sebagai kumpulan nasyid senior, kata Azadan,  mereka perlu menunjukkan contoh terbaik kepada  kumpulan nasyid baru untuk terus yakin dan bersemangat meneruskan legasi nasyid tanah air.

“Tiada istilah kepentingan sendiri malah kami sedia memberikan tunjuk ajar kepada pelapis nasyid. Untuk berjaya haruslah bermula dengan komitment dan memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak,” katanya.

Pada Ramadan ini juga, Rabbani akan berada di Festival Ramadan Putrajaya daripada 31 Mac hingga 3 Mei ini dan mereka ereka terbabit mempromosikan booth untuk produk Garam Sasa dan agensi umrah iaitu AET Travel.

Sementara itu pada, 22 April pula, Rabbani akan mengisi slot persembahan  memeriahkan lagi festival ramadan itu yang dibawakan oleh MBSB Bank.

Meneruskan bicara, Rabbani kini sibuk mempromosikan single terbaru yang berjudul Husnul Khatimah, lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik  oleh Fitri Yahya.

“Alhamdulillah karya kami kali ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Garam Sasa. Rabbani bersama Garam Sasa juga berkolaborasi dengan program terbitan RTM iaitu dokumentari Syahadah yang bersiaran setiap hari sepanjang Ramadan ini, pada jam 6 petang di TV1.

“Pengisian Syahadah tahun ini lebih menarik apabila 15 episod pengggambaran dilakukan di Semenanjung Malaysia dan bahagia kedua memaparkan keindahan Islam dari pelbagai sudut perspektif di Sabah dan Sarawak.

“Jajaran dan intipati dokumentari Syahadah musim ini membawa penonton

menyusuri keindahan Islam dalam konteks hijrah dan memaparkan perubahan komuniti mahupun individu terhadap cara hidup Islam di Malaysia,” katanya.

Khusus untuk penonton Syahadah, diadakan kuiz mingguan dengan hadiah sumbangan daripada Garam Sasa, AET Travel dan Rabbani Productions.

Pemenang hadiah terkumpul akan menerima pakej mengerjakan umrah tajaan Garam Sasa.

Pada Ramadan ini juga, kali kedua Rabbani memeriahkan Starvendors Mega Raya Fest 2022 dengan pembabitan lebih 40 artis dan selebriti terkenal tanah air. Ia akan berlangsung selama 72 jam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 22 hingga 25  April ini.

“Rabbani turut terbabit dalam rakaman lagu Starvendors berjudul Mega Raya ciptaan Hafiz Hamidun bersama beberapa lagi seperti Ani Mayuni, Siti Norsaida Tarudin dan Acong Sweetchild.

“Kami juga bekerjasama dengan NGO Naurah Care sebagai ikon Buku Iqra’ Bacalah Premium untuk mempromosikan buku itu sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Kata Azadan lagi, kepada peminat Rabbani, nantikan slot persembahan Khas Rabbani di TV1 pada akhir Ramadan menerusi Konsert Sempena 25 Tahun Rabbani.

“Kami akan mempersembahkan lagu popular Rabbani dari album pertama hingga album terakhir,” katanya.

Terbaharu juga, Gogopasar Digital Marketing melantik Rabbani sebagai Gogopasar untuk mempromosikan pembelian barangan keperluan rumah secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Gogorabbani. – MalaysiaGazette