KUALA LUMPUR – Masyarakat Islam di ibu negara teruja untuk menyambut bulan Ramadan bermula esok.
Rata-rata mereka berharap agar kemeriahan Ramadan kali ini kembali seperti biasa selepas dua tahun terpaksa melaluinya dalam suasana penuh halangan ekoran pandemik Covid-19.
Tinjauan MalaysiaGazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini mendapati, orang ramai memanfaatkan cuti hujung minggu mencari barang-barang keperluan untuk bulan puasa.
Malah, ada yang bersedia lebih awal mencari persiapan menjelang hari raya Aidilfitri bagi mengelak kesesakan sama ada di jalan raya mahu pun di bazar-bazar Ramadan.
Seorang pegawai tentera, Zikri Zainal Abidin, 31, hari ini membawa bersama isteri dan tiga orang anaknya untuk mencari barang-barang keperluan Ramadan dan persiapan menyambut hari raya.
Katanya, memang sudah menjadi kebiasan bagi keluarganya membuat persiapan lebih awal kerana tidak mahu ada perkara-perkara yang tertinggal pada saat-saat akhir.
“Saya keluar dengan isteri untuk cari persiapan untuk buat buka puasa esok dan barang-barang keperluan hari raya.
“Walaupun hari ini kita dah masuk fasa endemik dan tentulah ramai orang akan keluar macam mana yang dapat dilihat hari ini…mereka ni semua nak beli awal barang raya,” katanya.
Bagi juruteknik, Mohd Faizal Abd Aziz, 39, dia keluar hari ini untuk menemani isterinya mencari barangan jahitan ekoran isterinya itu mengambil tempahan baju.
Selain itu, dia juga mencari barangan keperluan Ramadan serta beberapa barangan menjelang Syawal nanti.
“Cari barang awal ini lebih bagus…nanti kalau dah tiba bulan puasa letih pula.
“Sebab itu saya lebih suka beli persiapan raya ni sebelum menjelangnya Ramadan dan bila sudah tiba bulan puasa boleh la berehat,” ujarnya.
Norlaila Borhan, 46, pula berkata, seperti biasa sebagai seorang ibu, sudah pasti dia sibuk memikirkan persiapan puasa dan hari raya untuk suami dan anak-anaknya.
Katanya, dia akan keluar membeli barang-barang mentah untuk dimasak bersahur esok dan ada sedikit persiapan hari raya yang perlu dibeli awal.
“Saya dan sejam ada di sini dan masih ada lagi barang yang belum dapat dibeli.
“Tapi, apa yang penting saya akan dahulukan perkara-perkara yang mustahak terlebih dahulu. Benda-benda yang lain mungkin boleh dicari kemudian,” katanya yang merupakan seorang anggota polis.
Sementara itu, Suziana Buhari, 46, memberitahu, dia teruja keluar ke pusat bandar hari ini kerana banyak benda hendak dicari sebagai persediaan menjelang esok.
Meskipun seronok kerana dapat menyambut Ramadan esok yang sudah pasti berbeza seperti dua tahun lepas namun namun aspek keselamatan tidak diabaikan.
“Rasa takut tu ada juga tapi kita kena sentiasa beringatlah, kena patuh pada SOP.
“Syukur, kita dapat sambut Ramadan seperti biasa dan harap akan dapat sambut Aidilfitri pula selepas ini,” katanya yang merancang menyambut 1 Syawal di kampungnya di Ipoh, Perak. – MalaysiaGazette