Home Nasional Bazar Ramadan Kampung Baru kembali ‘hidup’

Bazar Ramadan Kampung Baru kembali ‘hidup’

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette selepas Malaysia beralih ke fasa endemik di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022

KUALA LUMPUR – Sambutan bulan Ramadan tahun ini ternyata berbeza daripada dua tahun sebelumnya setelah kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Operasi bazar Ramadan yang dahulunya tidak dibenarkan, kini beroperasi seperti sedia kala.

Tinjauan MalaysiaGazette di Bazar Ramadhan Kampung Baru mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar di sini, hari ini.

Seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur, Abdul Hafiz Abdullani, 27, meluahkan kerinduan selepas lebih dua tahun tidak dapat merasai suasana bazar Ramadan.

“Memang rasa rindu sebab dah lama tak rasa suasana macam sekarang, lain macam perasannya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Tambahnya, walaupun keadaan agak sesak dengan orang ramai yang hadir untuk membeli juadah berbuka puasa, namun prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dipatuhi.

“Hari ini memang padat walaupun hari hujan, tapi SOP terkawal sebab semua pakai mask (pelitup muka).

“Kalau nak cakap penjarakan fizikal, memang sukar nak kawal. Tapi yang penting pakai mask,” ulasnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli kepak ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette selepas Malaysia beralih ke fasa endemik di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022

Bagi peniaga kepak ayam, Aryan Ramli, 25, pula menyambut baik kelonggaran yang diberikan kerajaan.

“Terima kasih kepada kerajaan sebab izinkan buka bazar semula.

“Alhamdulillah dapat berniaga macam biasa, dulu lebih dua tahun tiada bazar, tahun ini beruntung dapat berniaga lagi,” katanya.

Menurut Aryan, kemahirannya untuk mengipas kepak ayam semakin berkurangan selepas lebih dua tahun tidak berniaga di bazar.

Skill (kemahiran) saya berkurangan, tangan macam lemah sikit nak mengipas kepak ayam, itu yang kadang-kadang tak sempat nak penuhi kehendak pelanggan yang ramai,” katanya yang tidak putus menerima pelanggan seawal jam 4 petang.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan sebanyak 72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan ini. – MalaysiaGazette