PETALING JAYA – Sambutan bulan Ramadan tahun ini ternyata berbeza daripada dua tahun sebelumnya setelah kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke Endemik pada 1 April,.
Operasi perniagaan yang dahulunya dihadkan hingga pukul 12 pagi, kini beroperasi seperti sedia kala.
Pada Ramadan kali ini rakyat Malaysia dapat meluangkan masa bersama sahabat handai dan keluarga sehingga lewat malam dan bersahur di kedai makan, khususnya golongan bujang yang kesuntukan masa untuk menyediakan juadah sahur.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Petaling Jaya mendapati rata-rata umat Islam memilih restoran mamak sebagai kedai pilihan untuk bersahur, lebih-lebih lagi hanya kedai mamak sahaja yang dibuka pada awal pagi.
Seorang kakitangan perhubungan awam, Adam Daniel, 25, memilih untuk bersahur di restoran mamak bersama rakan-rakan untuk menghadapi hari pertama berpuasa.
Katanya, walaupun dia pandai memasak namun harga juadah di restoran mamak seringkali menjadi pilihannya kerana adalah lebih jimat daripada segi kos dan masa jika makan kedai berbanding masak sendiri.
Sebagai seorang golongan belia, Adam berasa gembira dan berpuas hati dengan keputusan fasa peralihan ke endemik, kerana akhirnya dapat melepaskan rindu untuk melepak di kedai makan hingga lewat malam seperti dahulu.
“Saya reti je masak.. tapi malas. Kalau mamak ni, cost sangat efficient”
“Saya pun memang happy lah waktu operasi kedai dah macam dulu-dulu, sebab dah hampir dua tahun lebih tak dapat feeling macam ni, lepak selepas jam 12”
“It brings back the memories.., Nature is really healing,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Restoran Pelita Nasi Kandar di Kuala Lumpur.
Bagi pegawai bank, Haidah Lasir memilih restoran mamak bersama pasangannya untuk bersahur kerana tiada kedai lain yang dibuka di sekitar kediamannya.
Pada mulanya, dia ke Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk mencari makanan Minang namun restoran tersebut tutup dan hanya mamak yang terlintas di fikiran.
Dia berpendapat bahawa keputusan fasa peralihan ke endemik adalah sesuatu yang positif bagi peniaga-peniaga yang terjejas sebelum ini kerana dapat merangsang semula ekonomi mereka dan memberikan peluang untuk kembali berdiri.
“Rasanya it brings good changes lah.. At least boleh bantu ekonomi untuk encourage people to stand again and stabilize economy and make it better,” ujarnya.
Wan Danial Syafiq, 23, seorang pelajar universiti awam turut bersahur di kedai mamak selepas selesai bermain bola bersama rakan-rakannya.
Demi meluangkan masa bersama pasukannya yang masing-masing duduk berjauhan, mereka sebulat suara untuk berkumpul di Restoran Pelita Nasi Kandar untuk bersahur.
Katanya, dia dan rakan-rakan berbuat demikian kerana hanya restoran mamak sahaja yang sudah pastinya dibuka sehingga lewat malam.
“Setahu saya, mamak sahaja lah yang buka 24 jam, memang pilihan yang baik untuk makan di sini,”
“Best.. dapat berkumpul ramai-ramai semula, tapi pada masa yang sama kami tak lupa SOP yang disediakan”
“Alhamdulillah selaras fasa peralihan ke endemik ni pun, Ramadhn yang ditunggu-tunggu kali ini pun kita dah boleh rapatkan saf solat, turut rapatkan lagi silaturahim” katanya lagi.
Mimie Shuhadah, 25, seorang penasihat kecantikan turut bersahur di kedai mamak bersama rakan-rakan sebagai sambutan hari pertama berpuasa.
Katanya, dia sangat menggemari roti bom di kedai mamak.
“Saya dengan kawan-kawan datang sini sebab kedai masakan Melayu banyak yang tak buka, kami dah ronda-ronda, sudahnya sampai ke tempat favourite ni.
“Dapat la makan roti bom, siapa yang belum cuba boleh cuba lah, memang sedap” dia mengesyorkan roti boom yang katanya sangat enak,” ujarnya.
Mukrim, 33, seorang kakitangan teknologi maklumat berkata, dia dan pasangannya sudah mengeluarkan barang-barang basah untuk dimasak namun dek terleka dengan kerja yang harus disiapkan, mereka kesuntukan masa.
Dia bersama pasangannya dan dua orang anak terdahulu singgah di Shah Alam untuk mencari kedai masakan Melayu namun tiada yang beroperasi dan akhirnya berpatah balik ke Petaling Jaya untuk bersahur di restoran mamak.
“Lagi pun dah memang port kami di sini, tempat biasa kami sekeluarga”
“Saya senang hati bila dapat tahu waktu operasi kedai makan dah macam dulu.. senang orang nak sahur”
“Kami pun memang tertunggu untuk kedai-kedai makan buka sampai lewat malam sebab kadang-kadang kami keluar lewat nak beli makan. Sekarang ni kalau lapar pukul 2, 3 pagi pun dah senang nak cari makan, Alhamdulillah” jelasnya. – MalaysiaGazette