KUALA LUMPUR – Satu sindiket menjual barangan tiruan berjenama terutama pakaian dan kasut melalui jualan dalam talian serta peruncitan di negara ini terbongkar.
Kegiatan sindiket yang didalangi warga Bangladesh dan Pakistan sejak lebih dua tahun lalu akhirnya tersungkur namun dalang yang berselindung di sebalik kegiatan itu berjaya meloloskan diri.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pada 29 Mac lalu, pegawai penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagangan telah membuat serbuan ke atas empat buah premis di ibu negara.
Tiga premis daripadanya adalah pemborong yang beroperasi di sebuah kompleks pemborong terkemuka di Jalan Kenanga dan satu premis gudang di Taman Kencana itu dilakukan aduan wakil pemilik cap dagangan setelah risikan selama seminggu.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan di keempat-empat premis perniagaan borong dan gudang itu, pasukan penguat kuasa KPDNHEPKL berjaya merampas dan menyita sebanyak 22,207 barangan tiruan yang terdiri daripada pakaian dan kasut berjenama.
“Jumlah sitaan barang membabitkan keempat-empat premis itu adalah berjumlah lebih RM850,000 kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam sidang media khas kejayaan serbuan itu di Segambut hari ini.
Tambah Ariffin, siasatan awal pihaknya juga mendedahkan tiga premis borong barang tiruan berjenama itu turut mendapati menjual barangan tiruan pakaian secara atas talian kepada pelanggannya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, Kesemua barangan tersebut diimport daripada kedua-dua negara Asia Selatan itu sebelum disimpan di gudang berkenaan dan kemudian diedar kepada pemborong dan peruncit untuk jualan di pasaran di ibu negara.
“Ketika serbuan dibuat, kesemua suspek dan dalang melarikan diri daripada premis dan kami hanya sempat merampas barang-barang tiruan berjenama yang disimpan mereka di gudang dan juga pemborong.
“Harga sehelai baju dan seluar diperoleh dengan kos RM10 hingga RM40 sahaja tetapi akan dijual dengan harga RM25 hingga RM80 sehelai di pasaran ibu negara manakala sebuah gudang yang diserbu di Taman Kencana juga memiliki ribuan kasut tiruan berjenama dan menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar ibu kota selain bekalannya dihantar kepada peniaga di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Hasil maklumat yang diperolehi, bekalan kasut tiruan berjenama itu bertujuan untuk menjual kepada orang ramai yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini,” katanya.
Jelasnya lagi, kasut berjenama berkenaan diperoleh sindiket pada harga kos RM30 hingga RM80 sepasang tetapi dijual di pasaran dengan harga borong RM60 hingga RM100 sepasang manakala peringkat peruncit dijual pada harga RM100 hingga RM200 sepasang.
Sindiket berkenaan sememangnya bergiat aktif lebih dua tahun lalu dalam kegiatan ini dan mereka membawa masuk begitu banyak barang tiruan berkenaan sebagai pakaian kosong daripada Bangladesh dan Pakistan.
“Selepas berjaya memperoleh barang pakaian kosong itu, barulah mereka mencetak dan menjenamakan pakaian itu di sini sebelum dibekal kepada pemborong dan juga peruncit seterusnya untuk dijual di pasaran dan mereka memang menyedari permintaan pada musim perayaan sebegini akan tinggi dan barang tiruannya laris dalam kalangan warga ibu kota termasuk di atas talian.
“Malahan kami mendapati sindiket ini bergerak atau berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain sentiasa mengelak dihidu pihak berkuasa.
“Kami sedang meneruskan siasatan selepas sitaan dibuat dan siasatan kali ini dikenakan ke atas pemilik premis yang menyewakan bangunan mereka kepada sindiket ini untuk melakukan kegiatan menyalahi undang-undang ini,” tegasnya.
Beliau berkata KPDNHEP KL tidak akan membiarkan ibu kota menjadi hub produk tiruan berjenama dan akan turun padang untuk mencantas sindiket barang tiruan yang terdiri dariapada pemborong sehingga ke akar.
Empat pemborong dan sebuah gudang yang disita sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Kami akan berusaha untuk memastikan Kuala Lumpur tidak didominasi barang tiruan,amaran kepada sindiket kalau bermimpi nak jadikan ibu negar sebagai hub produk tiruan, lupakan niat itu kerana kami akan memburu dan melumpuhkan anda habis-habisan.
“Jangan bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga tidak bertanggungjawab dan sila bantu kita lindungi hak harta intelek yang merupakan tanggungjawab kita bersama,” tegasnya.
Berdasarkan statistik, katanya, sepanjang tahumn 2022 sehingga Mac lalu sebanyak 27 kes barang tiruan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Hak Cipta 1987 direkodkan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.72 juta membabitkan sitaan barang berjumlah 47,200 unit manakala bagi Ops Jeriji 3.0 tahun 2022 seramai lapan orang ditangkap atas kesalahan harta intelek.-MalaysiaGazette