Home Nasional 1,045 peniaga bazar Ramadan amal konsep lestari dan pintar

1,045 peniaga bazar Ramadan amal konsep lestari dan pintar

Datuk Hamdan Hussin (kanan) bersama Ketua Jualan dan Pemasaran Axiata Digital Ecode Sdn Bhd, Gary Foo meninjau bazar Ramadhan di Taman Kerang, Kuantan hari ini

KUANTAN – Sebanyak 25 lokasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri melibatkan 1,045 penjaja di daerah ini mengamalkan konsep lestari dan pintar.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Husain berkata, konsep tersebut menerapkan peniaga supaya tidak menggunakan bekas polisterin, dawai kokot dan straw plastik sepanjang tempoh perniagaan dijalankan.

“Penggunaan beg plastik biodegradable juga amatlah penting bagi mengekalkan konsep lestari dan pintar.

“Para penganjur juga disarankan untuk menyediakan tong sampah kitar semula di pasar-pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.

“Peniaga juga dikehendaki menawarkan alternatif bayaran tanpa tunai iaitu dengan menggunakan aplikasi Boost,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Majlis Bandaraya Kuantan dengan Axiata Digital Ecode Sdn. Bhd., hari ini.

Jelas Hamdan, inisiatif tersebut merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan warga Kuantan mengamalkan pembayaran tanpa tunai.

Justeru beliau berharap agar konsep lestari dan pintar ini dapat meningkatkan kualiti dan standard Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri yang dianjurkan.  – MalaysiaGazette