KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) akan menawarkan pembiayaan peribadi-i sehingga RM400,000 dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, had pembiayaan baharu ini hanya dibuka bagi produk pembiayaan peribadi-i Al Yaseer sahaja.
Dengan pembaharuan had maksimum ini, ianya dapat meningkatkan lagi portfolio perniagaan CBP dengan pemfokusan segmen pelanggan, selain sebagai satu kaedah untuk mengekalkan pelanggan sedia ada.
“Ianya juga merupakan salah satu aktiviti penjenamaan untuk meletakkan CBP seiring dengan pesaing-pesaing yang terdapat di dalam pasaran, di samping memberi kemudahan kepada pelanggan untuk menyatukan komitmen di CBP,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, pada ketika ini, CBP mempunyai dua lagi Pembiayaan Peribadi-i iaitu Pembiayaan Peribadi-i Lestari dan Pembiayaan Peribadi-i Profesional, yang mana kedua-duanya menawarkan kadar keuntungan tetap.
Kedua-dua pembiayaan peribadi ini menawarkan had pembiayaan sehingga RM200,000.
Khairil Anuar menambah, dengan adanya had pembiayaan baharu menerusi Pembiayaan Peribadi-i Al Yaseer ini, ianya dapat menarik pasaran pelanggan yang baharu yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi yang memerlukan pembiayaan peribadi dengan jumlah yang lebih besar.
Selain menawarkan pembiayaan peribadi, CBP juga turut menawarkan pembiayaan patuh syariah yang lain seperti pembiayaan perumahan, pembiayaan hartanah, pembiayaan koperasi dan korporat, Ar-Rahnu dan juga penulisan wasiat. – MalaysiaGazette