Home Sukan JDT berdepan 8 aksi sepanjang Ramadan

JDT berdepan 8 aksi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR – Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi pasukan bola sepak paling sibuk pada bulan Ramadan ini apabila akan bermain sekurang-kurangnya lapan perlawanan melibatkan aksi domestik dan antarabangsa.

Laman Facebook Southern Tigers dalam satu hantaran berkata, selain jadual yang padat, faktor bulan Ramadan bakal menjadi ujian buat JDT dalam usaha meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super selain akan menjadi tuan rumah dalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“JDT dijadualkan bertemu Kuala Lumpur City FC di tempat lawan pada 6 April sebelum melayan kunjungan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 April untuk saingan Liga Super.

“Selepas itu, JDT akan berentap dengan pasukan gergasi Asia dari Jepun, Korea Selatan dan China dalam kejohanan ACL dengan kesemua enam perlawanan Kumpulan I akan berlangsung di Johor dari 15-30 April. Luaskan Kuasamu Johor,” kata hantaran tersebut.

Kesemua perlawanan yang melibatkan kumpulan I akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos bermula 15 April hingga 30 April 2022. – MalaysiaGazette

+ posts