KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih dalam proses untuk menyiapkan satu lagi kertas siasatan membabitkan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah selebriti Ebit Lew.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung laporan yang dibuat di Semenanjung sebelum ini ke atas Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew.
Kata beliau, siasatan dijalankan termasuklah mengesan saksi-saksi berhubung dakwaan itu.
“Kita belum pasti bila akan didakwa (Ebit Lew), masih disiapkan siasatan lagi,” katanya secara ringkas ketika dihubungi hari ini.
Ebit, 37, sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, Sabah pada 17 Februari lalu atas kesalahan gangguan seksual.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual yang dihadapinya.
Mahkamah telah menetapkan 20 hingga 23 April ini sebagai tarikh penyerahan dokumen kes, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun 2022.
Untuk rekod, Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
Semua pertuduhan itu bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu. -MalaysiaGazette