Home Utama Kes positif Covid-19 turun angka 10,000

Kes positif Covid-19 turun angka 10,000

Covid-19 cases
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes jangkitan positif Covid-19 di seluruh negara sehingga semalam menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan penurunan angka 10,000 kes.

Kes baharu direkodkan 10,002 merupakan angka yang menggembirakan pasukan barisan hadapan dalam menangani dan mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini menyatakan,  jumlah kes itu menjadikan kes kumulatif di negara ini naik kepada 4,256,469 kes.

Namun, katanya, kes sembuh telah mengatasi kes jangkitan baharu, yang mana mencatatkan 23,302  iaitu 4,041,723 kes kumulatif.

“Daripada jumlah kes baharu itu, kes import sebanyak 98 kes, manakala empat kes bukan warganegara,” katanya sambil menambah kes tempatan sebanyak 9,904 kes iaitu 9,588 warganegara dan 316 bukan warganegara.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi ialah 236 kes iaitu 103 kes disahkan Covid-19, 133 kes disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 140 kes iaitu 55 kes disahkan Covid-19, 85 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai  terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

Selain itu, katanya, orang ramai digalakkan mengamalkan 3W iaitu Wash, Wear and Warn serta sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.

“Bagi individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan itu.

“Kita nasihatkan mereka segera mendaftar dan mendapatkan vaksin manakala yang telah mendaftar, KKM memohon anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang,” katanya. – MalaysiaGazette