Home Nasional Khemah bazar Ramadan depan premis, macam mana kami nak berniaga?

Khemah bazar Ramadan depan premis, macam mana kami nak berniaga?

Seorang peniaga menunjukkan deretan khemah bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah, Melaka yang tidak mempunyai jarak antara khemah sehingga menghalang pandangan pengunjung di penyewa kedai dalam bangunan.

MELAKA – Kira-kira 10 penyewa premis bangunan perniagaan di Jalan Hang Tuah di sini kecewa sikap agensi kerajaan yang membenarkan pemasangan deretan khemah bazar Ramadan di hadapan kedai mereka sehingga menghalang pandangan pengunjung.

Peniaga kedai gunting rambut Ab. Razak Ali, 71, berkata, keadaan itu sekaligus menyebabkan perniagaan mereka terjejas antara 20 hingga 40 peratus kerana tiada laluan antara khemah untuk memudahkan pengunjung ke kedai mereka selain kesukaran mendapatkan tempat letak kereta.

“Kalau berdiri dari jalan utama, kedai kami langsung tak nampak sedangkan sepatutnya agensi kerajaan kena bertanggungjawablah sebelum meluluskan pemasangan deretan bazar Ramadan ini.

Ab Razak Ali

“Kami tak marah penganjur zzzz sebaliknya meluahkan apakah nasib kami sebagai penyewa bangunan kedai yang seolah-olah dianaktirikan untuk mencari rezeki di bulan mulia ini.

“Saya harap tahun depan, pihak berwajib kena lihat bagaimana penganjuran bazar ini dapat dilakukan dan jangan hanya berbincang dengan sebelah pihak sahaja,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Bagi peniaga kedai pakaian, Sheikh Abdul Aziz Sheikh Abdul Rahman, 72, berkata, kewujudan deretan khemah bazar itu yang tidak mempunyai jarak antara khemah tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sebelum ini, antara khemah ke khemah ada jarak bersaiz 10 kaki sekaligus pengunjung bazar mempunyai ruang untuk melihat kedai kami di belakang khemah bazar.

“Tapi tahun ini, deretan khemah terus bersambung membuatkan kedai kami terlindung sepenuhnya seolah-olah kami ini seperti pendatang yang tidak layak mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur Melaka Grand Ramadan Bazaar, Mohd fikri Mohd Ali berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul memandangkan 147 tapak bazar berkenaan telah mendapat keluluskan daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Mohd fikri Mohd Ali

Malah, katanya penyewa bangunan kedai di Jalan Hang Tuah sepatutnya gembira kerana pihak penganjur telah mengeluarkan modal yang besar untuk kerja-kerja mempromosi bazar yang secara tidak langsung membantu semua perniagaan di situ.

“Semua ini adalah rezeki yang kami kongsikan bersama dan kami bukanlah bertindak bertindak sesuka hati mendirikan khemah tanpa kelulusan MBMB.

“Apa yang kami buat ini adalah untuk memajukan Jalan Hang Tuah ini supaya semua peniaga dapat segera memulihkan ekonomi mereka selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Habis kedai kat belakang terlindung tu tak payah makan kaaa?? Tak payah bayar sewa? Otak tak de

    • Kedai tu kena bukalah supaya tak terlindung, so nak berniaga kena pakai otak sikit.

Comments are closed.