Home Nasional Tidak ada keperluan peniaga naikkan harga – KPDNHEP

Tidak ada keperluan peniaga naikkan harga – KPDNHEP

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi beramah mesra dengan peniaga semasa mengadakan Ops Pantau di Bazar Ramadan Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan agar peniaga bazar tidak menaikkan harga juadah pada bulan Ramadan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana kebanyakan harga barang mentah sudah dikawal kementerian itu dan turut mengambil kira margin keuntungan kepada pihak peniaga.

“KPDNHEP merasakan tiada keperluan untuk peniaga menaikkan harga terutamanya yang melibatkan dengan penyediaan juadah berbuka puasa serta kuih muih dan juadah Aidilfitri memandangkan kebanyakan harga barang-barang mentah keperluan buka puasa dan hari raya telah dikawal oleh kerajaan melalui Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia sehingga 5 Jun.

“Barang-barang tersebut termasuk ayam, telur ayam, minyak masak sawit tulen, tepung gandum kegunaan am, gula LPG untuk memasak, RON95 dan diesel untuk pengangkutan,” katanya dalam sidang media sempena walkabout di Bazar Ramadan Putrajaya, hari ini.

Justeru itu, Nanta Linggi berharap semua peniaga dapat memberikan kerjasama untuk tidak menaikkan harga juadah sesuka hati.

“Saya berharap peniaga beri kerjasama untuk menetapkan harga yang lebih munasabah dan berpatutan. Ingin diingatkan kami di KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan harga bago memastikan harga yang dijual itu lebih munasabah,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta Linggi berkata, sejumlah 2,000 penguatkuasa bakal dibantu lebih 1,000 pegawai pemantauan harga akan turun padang bagi memastikan harga jaudah di bazar Ramadan terkawal di seluruh negara.

Ditanya mengenai tindakan peniaga ayam di Johor dan Perlis yang didapati menjual ayam melebihi harga siling, Nanta Linggi memberitahu, peniaga itu telah membuat satu kesalahan besar.

“Meletakkan harga melebihi harga siling satu sen pun kesalahan dan menjual melebihi RM10 sekilogram sememangnya kesalahan besar.

“Tak kira sebab dan kita dah buat sekatan harga maksimum di pelbagai peringkat seperti di ladang, borong dan runcit.

“Diperingatkan peniaga, kita sudah ambil kira margin keuntungan mereka,” katanya. 

Sebelum ini, KPDNHEP menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung.

Dalam pada itu, Nanta Linggi berkata, sejumlah 17 kes telah dikenalpasti atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Pantau 2022 dijalankan.

“Bermula 3 hingga 4 April sebanyak 7,106 premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 17 kesalalah direkodkan dengan nilai kompaun berjumlah RM4,200,” katanya. – MalaysiaGazette