Home MGNews Tragedi sahur 3 Ramadan

Tragedi sahur 3 Ramadan

Bilal Baba, merenung nasib setelah pondok didiaminya sejak 25 tahun lalu di Batu 9 1/2 Pantai Kundur, Tanjung Kling, Melaka musnah terbakar.

MELAKA – “Mujur saya tersedar jam 5.15 pagi untuk bersahur, kalau tidak, entah apalah nasib saya,” kata Bilal Baba, 82.

Warga emas itu terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan pondok yang didiaminya sendirian sejak 25 tahun lalu di Batu 9 1/2 Pantai Kundur, Tanjung Kling di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian tersebut mungkin berpunca daripada api lilin yang digunakan di pondok tanah pusaka milik keluarganya yang tidak mempunyai bekalan asas api dan air.

Bilal Baba, mencari sisa barangan yang masih tinggal setelah pondok didiaminya sejak 25 tahun lalu di Batu 9 1/2 Pantai Kundur, Tanjung Kling, Melaka musnah terbakar pagi tadi.

“Sebelum itu, sekitar jam 3 pagi saya nyalakan sebatang lilin berhampiran tingkap, jadi mungkin tiupan angin menyebabkan api lilin menyambar langsir.

“Saya hanya sedar jam 5 pagi apabila hendak bangun sahur, terlihat api sudah marak dan hanya sempat berlari keluar menyelamatkan diri sambil menangis menyaksikan pondok rebah ke bumi.

“Semua pakaian dan sedikit duit simpanan semua hangus menyebabkan saya cuma tinggal sehelai sepinggang,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut bapa kepada enam anak itu, dia tidak menyangka berdepan dugaan itu, apatah pagi ketika baru tiga hari menjalani ibadah puasa.

“Apapun, saya reda dengan kejadian ini dan buat sementara ini mungkin akan tinggal dan beraya dengan keluarga anak-anak,” katanya.

Bilal Baba, mencari sisa barangan yang boleh diselamatkan setelah pondok didiaminya sejak 25 tahun lalu di Batu 9 1/2 Pantai Kundur, Tanjung Kling, Melaka musnah terbakar pagi tadi.

Sementara itu Pengawai Bomba Kanan II Ahmad Nyat berkata, sebuah jentera bomba dan Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.39 pagi.

“Sebaik tiba, didapati rumah kecil berkenaan bersaiz 20×20 kaki sudah 90 peratus terbakar.

“Kebakaran bagiamanapun tidak melibatkan mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dan punca kejadian juga masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi tamat pada jam 7.05 pagi,” katanya.