Home Seni Hidup Aroma roti bakar dapur arang tarik pelanggan sempena Ramadan

Aroma roti bakar dapur arang tarik pelanggan sempena Ramadan

Roti bakar arang kayu dengan pelbagai jenis perisa manambah kelazatan kepada mereka yang membelinya.

JOHOR BAHRU – Roti bakar yang dibakar menggunakan arang bukan sahaja unik pada zaman sekarang, tetapi keaslian baunya yang cukup unik selain rasanya lebih sedap.

Lagi-lagi roti itu disapu dengan mentega berperisa kacang, kaya pandan,coklat dan strawberi dan diminum bersama kopi Joho.

Tidak perlu ke kafe mahal kerana kombinasi roti dan kopi ini sahaja sudah mampu menambat selera pelanggan.

Perniagaan roti arang ini diceburi oleh anak muda berusia 28 tahun ini, Rahmad Ibrahim selepas meninggalkan kerjayanya sebagai penyelia tapak pembinaan.

Tidak gentar meninggalkan gaji tetap, Rahmad membina perniagaan sendiri dengan modal kecil-kecilan.

 

 

Pada awalnya menurut Rahmad, dia hanya bercadang menjual minuman sahaja.

Tetapi ibunya memberi idea supaya menjual roti bakar menggunakan arang.

“Kita ada buat roti bakar cuma bezanya kita menggunakan arang kayu, sebenarnya idea ini datang daripada orang tua saya sebab bila saya cakap dengan dia, dia tanya mahu berniaga apa? Saya kata nak berniaga air kopi, jadi dia kata kalau ada air kopi buatlah roti bakar sekali.

 

“Jadi dia bagi idea ini keranaa semasa dia muda-muda dulu dia makan roti bakar guna arang, Alhamdulilallah pelanggan semua suka sebab dekat tempat lain susah nak dapat rasa roti yang enak seperti yang dijual di sini.

“Kita ada perisa kacang,kaya,butter,”katanya ketika ditemui di Taman Daya.

Harga roti arang dijual antara RM2 bagi satu perisa, manakala RM3 untuk campuran perisa dengan setiapnya satu set.

Kata Rahmad,walaupun hanya berniaga di bahu jalan secara kecil-kecilan, dia tetap bersyukur kerana jualannya pernah mencecah 49 bungkus roti sehari.

“Syukur sangat walaupun saya baru empat bulan berniaga tetapi sambutan memang luar biasa.

“Sekarang ini saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30 bungkus,” katanya yang mempunyai perancangan untuk membuka kafe sendiri.

Bapa kepada dua orang anak ini juga berkata, dia sentiasa menerima ktitikan mahupun pandangan daripada pelanggan demi menambah baik perniagaan yang diusahakan.

“Masa awal-awal dulu ada pelanggan merungut roti ni bau arang dan berapa “menyengat” dan saya ambil teguran itu.

“Lama kelamaan saya belajar dan saya tahu saya perlukan arang berkualiti supaya bau arang itu betul-betul dapat meresap pada roti yang dibakar,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin merasai sendiri keenakan Roti Bakar Dapur Arang & Kopi Joho ini bolehlah singgah di bahu jalan dekat Jalan Daya 2 dekat Taman Daya.

Rahmad juga memberitahu, die turut bersedia menerima tempahan dan dia boleh dihubungi di talian 019-798 7865.-MalaysiaGazette