Home Nasional Melaka jangka terima 200 pengembara Indonesia sehari guna feri

Melaka jangka terima 200 pengembara Indonesia sehari guna feri

Zaidi (kanan) pada Kempen Keselamatan Rumah dan engagihan Bubur Lambuk di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka menjangkakan kemasukan 200 pengembara dari Indonesia sehari melalui sempadan maritim negara sebaik sahaja Indonesia membenarkan pembukaan sempadan negaranya.

Sasaran setelah berada fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu itu berdasarkan kapasiti sebuah feri dari Indonesia yang akan memasuki Melaka melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Melaka, di Banda Hilir.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, Melaka ketika ini hanya menunggu keputusan kedua-dua negara berkenaan untuk membuka semula pintu sempadan negara.

Keadaan itu jelasnya sekaligus merancakkan semula sektor pelancongan kesihatan negeri.

“Kita di CIQ Melaka sudah siap sedia dengan segala prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka untuk memastikan semula pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

“Saya jangkakan, sehari kita boleh terima 200 pengembara dari Indonesia ke negara kerana pergerakan pertama melibatkan sebuah feri yang kapasitinya adalah 200 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Keselamatan Rumah dan Pengagihan Bubur Lambuk di Ayer Keroh hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.

Zaidi Attan

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, segala proses SOP terbaharu bagi menerima kedatangan pelancong melalui sempadan maritim telah diperincikan kepada setiap peringkat jabatan negeri.

“Ini termasuklah seperti yang diumumkan sebelum ini pengembara yang ingin memasuki Malaysia pada 1 April ini perlu memiliki polisi perlindungan insurans (Covid-19 dan pengembaraan) pada kadar minimum USD20,000.

“Pusat kuarantin juga kita sediakan termasuk pengangkutan bagi pengembara ini bagi memastikan kes Covid-19 dapat kita kawal.

“Bagaimanapun, jadual spesifik ketibaan feri kita belum dapat lagi kerana masih menunggu maklumat daripada kerajaan Indonesia,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Malaysia masih menunggu kesediaan Indonesia dan Brunei dalam membenarkan pembukaan sempadan negara terbabit.

Malaysia katanya, sudah memaklumkan protokol am bagi kemasukan pengembara negara terbabit ke negara ini selain bersedia mengadakan rundingan jika ada permintaan dari kedua-dua negara itu.- MalaysiaGazette