Home Nasional Najib mahu teruskan kerjasama PSI hanya tanggapan saya – Ismee

Najib mahu teruskan kerjasama PSI hanya tanggapan saya – Ismee

Saksi ke-13, Tan Sri Ismee Ismail pada prosiding 1MDB di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-13 prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail tidak dapat mengesahkan sama ada Datuk Seri Najib Razak secara peribadi mahu meneruskan usaha sama dengan syarikat Abu Dhabi, Petrosaudi International (PSI) bernilai AS$1 bilion.

Sebaliknya bekas Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB itu berkata, ia hanya tanggapannya sahaja ketika itu.

Jelas Ismee, tanggapan itu kerana bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah memberitahunya supaya BOD untuk segera membuat keputusan tentang cadangan usaha sama PSI itu.

Ketika itu soal peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adakah Mohd Bakke sendiri telah menyebut Najib telah mengarahkan supaya BOD meneruskann usaha sama PSI  atau meminta lembaga untuk menimbangkan projek penting itu.

Bagaimanapun kata Ismee, Mohd Bakke tidak memperincikan tentang panggilan telefon antara beliau dengan Najib sebaliknya hanya meminta BOD untuk membuat keputusan tentang usaha sama itu.

“Apa yang saya boleh ingat ketika itu, Mohd Bakke selepas bercakap dengan Najib dalam telefon pada September 2009 telah mendedahkan Perdana Menteri mahu kita (BOD) untuk buat keputusan berkaitan usaha sama itu.

“Pada tanggapan saya ketika itu, Najib yang hendak teruskan usaha sama PSI itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Soal Muhammad Shafee lagi, adakah kemungkinan Mohd Bakke sebenarnya tidak memberitahu perkara sebenarnya yang mahu disampaikan oleh Najib namun pendakwaan tampil membantahnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhujah mengatakan soalan itu lebih kepada bertanya pendapat saksi dan bukannya soal balas.

Sebelum ini saksi pendakwaan audit 1MDB minggu lepas, Bakke Salleh mendakwa Najib memberitahunya menerusi telefon supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengkaji transaksi lepas dan hanya beri tumpuan kepada projek usaha sama (JV) yang dicadangkan antara dana kekayaan berdaulat (1MDB) itu dengan PSI.

Mohd Bakke berkata, pesanan itu telah disampaikan oleh Najib sendiri itu selepas selesai bercakap dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menerusi perbualan telefon semasa satu mesyuarat BOD yang turut dihadiri oleh Ismee.

Mohd Bakke berkata walaupun bimbang dengan beberapa isu yang dikaitkan 1MDB seperti AS$700 juta yang didakwa diseleweng, Najib memberitahunya supaya tidak mengambil masa yang panjang untuk mengkaji transaksi sebelumnya.

Ismee ketika ini masih sedang di soal balas oleh Muhammad Shafee di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding bersambung esok pagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – MalaysiGazette