Home Nasional Pegawai, anggota dan veteran ATM layak terima bantuan khas Aidilfitri

Pegawai, anggota dan veteran ATM layak terima bantuan khas Aidilfitri

Angkatan Tentera Malaysia
Pegawai, anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sama ada berpencen atau tidak layak menerima bantuan khas kewangan Hari Raya Aidilfitri.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pegawai, anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sama ada berpencen atau tidak layak menerima bantuan khas kewangan Hari Raya Aidilfitri.

Perkara berkenaan disahkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, dijangka seramai 120,615 orang pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat akan menikmati bantuan berkenaan.

Dalam masa yang sama lebih kurang 200,000 orang veteran ATM juga tidak ketinggalan menerima manfaat bantuan khas kewangan ini.

“Kementerian Pertahanan percaya, bantuan khas kewangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu anggota dan veteran ATM melakukan persiapan menjelang sambutan perayaan pada 1 Syawal,” katanya.

Beliau menyarankan agar veteran ATM yang masih belum berdaftar dengan JHEV supaya membuat pendaftaran dengan segera agar dapat menerima bantuan berkenaan.

Mewakili Kementerian Pertahanan, Hishammuddin merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta keseluruhan jemaah Kabinet kerana mengambil kira anggota dan veteran ATM dalam pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri yang dijangka diterima pada 25 April ini.

“Ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap soal kebajikan warga ATM tetapi juga menyerlahkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi terhadap,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pemberian RM500 bantuan khas kewangan Hari Raya Aidilfitri kepada semua penjawat awam dengan gred 56 kebawah.

Menurut Ismail, pemberian itu juga turut diberikan kepada kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.- MalaysiaGazette