TAHUN 2020 memberi cabaran besar bukan sahaja kepada seluruh rakyat Malaysia malah juga seluruh rakyat di dunia akibat penularan Covid-19. Pertumbuhan ekonomi dalam negara merosot sebanyak 5.65%, dan pengangguran dilaporkan meningkat sebanyak 4.55%, tertinggi dalam sejarah bagi tempoh 30 tahun. Penyusutan ekonomi sudah tentu memberi kesan buruk kepada negara dan juga masyarakat. Kehilangan pekerjaan memberi tamparan yang besar kepada seseorang individu, dan sebahagian kecil daripada mereka mengambil keputusan membunuh diri bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Setiap negara sudah tentunya pelu sentiasa memastikan pertumbuhan ekonomi berada dalam keadaan stabil. Pertumbuhan ekonomi yang positif membawa maksud taraf hidup sesebuah negara meningkat serta menarik minat pelabur asing dari luar negara masuk ke dalam negara. Natijah daripada peningkatan pelaburan asing, negara kita dapat menikmati teknologi-teknologi baharu yang lebih baik serta peningkatan peluang pekejerjaan. Meskipun peningkatan ekonomi memberi pelbagai kesan positif kepada negara dan masyarakat, kesan buruk ke atas kerosakan alam sekitar yang sudah lama disedari oleh kebanyakan negara terutamanya negara-negara maju masih tidak dipandang serius.
Oleh kerana itu, pelepasan CO2 di seluruh dunia menunjukkan trend peningkatan yang sangat membimbangkan. Meskipun kita dapat melihat penurunan pelepasan CO2 pada tahun 2020 di kebanyakan negara termasuklah Malaysia, namun penurunan ini berlaku kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-9. Banyak kegiatan ekonomi tidak dapat dijalankan. Di Malaysia, CO2 dilepaskan pada tahun 2020 berkurang daripada 264.685 Mt pada tahun sebelumnya kepada 262.171 Mt. Pada tahun 2009 juga, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi dengan kemerosotan sebanyak 1.5%, dan pelepasan CO2 menurun kepada 199.488 Mt berbanding 221.424 Mt pada tahun sebelumnya.
Pelepasan CO2 meningkat semula apabila ekonomi kembali pulih pada tahun berikutnya iaitu tahun 2010. Ini membuktikan pertumbuhan ekonomi berlaku selari dengan peningkatan kerosakan alam sekitar. Kalau kita melihat skop yang lebih besar, negara Cina merupakan sebuah negara dengan ekonomi yang terbesar selepas Amerika Syarikat mencatatkan jumlah pelepasan CO2 tertinggi di dunia, diikuti Amerika Syarikat. Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, tenaga digunakan bagi menjana aktiviti-aktiviti ekonomi di setiap sektor. Sektor pengangkutan mencatatkan permintaan tenaga yang paling tinggi iaitu sebanyak 25,004 Ktoe berbanding sektor-sektor lain seperti industri dan pertanian.
Kebergantungan Malaysia terhadap penggunaan tenaga tidak boleh diperbaruhi seperti arang dan minyak menyumbang kepada masalah alam sekitar. Hal ini adalah kerana proses pembakaran arang dan minyak akan melepaskan gas CO2 ke udara, sekali gus dapat mengurangkan lapisan ozon dan perubahan iklim berlaku. Banyak kajian telah membuktikan bahawa peningkatan CO2 memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia. Sekiranya, trend CO2 yang membimbangkan tidak dipandang serius bukan hanya menatijahkan kerosakan alam sekitar malah memudaratkan kesihatan manusia.
Oleh itu, masalah ini harus ditangani dengan segera. Pembangunan mampan tidak dapat dicapai sekiranya pertumbuhan ekonomi yang baik, namun pada masa yang sama berlakunya kemusnahan alam sekitar. Penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperi solar, biogas dan sebagainya, dapat mengurangkan kemusnahan alam sekitar. Selain daripada itu, dasar alam sekitar seperti mengenakan cukai bagi setiap pelepasan CO2 ke udara yang telah diperkenalkan dalam Perancangan Malaysia ke-12 adalah langkah yang baik bagi mengurangkan pelepasan gas tersebut. Namun, apa yang membimbangkan adalah pertumbuhan ekonomi mungkin terhad kerana setiap pelepasan CO2 untuk menghasilkan output akan dikenakan cukai.
Dr. Mohd Shahidan Shaari
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis