Home Sukan Skuad wanita muda hoki negara tumpas ditangan India

Skuad wanita muda hoki negara tumpas ditangan India

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cabaran skuad wanita muda negara di pentas Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan, berakhir selepas tumpas 0-4 di tangan India, semalam.

Pada aksi pelengkap peringkat Kumpulan D itu, empat gol padang pasukan India sudah memadai untuk meranapkan impian skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, sekali gus melangkah ke peringkat suku akhir apabila hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.

Pada aksi itu pasukan India bermula garang apabila membuka jaringan masing-masing menerusi gol padang Mumtaz Khan serta Sangita Kumari pada minit kesembilan dan ke-10.

Memasuki suku kedua, India yang dibimbing Erik Wonink terus selesa meneruskan penguasaan dengan gol ketiga menerusi jaringan gol padang Lalrindiki pada minit ke-25.

Sebaik suku ketiga bersambung, skuad Young Tigress berusaha meningkatkan rentak permainan namun gagal memecahkan kebuntuan untuk mendapatkan gol sulung.

Sebaliknya, pasukan lawan menambah derita skuad muda Malaysia apabila menjaringkan gol keempat menerusi gol padang Mumtaz pada minit ke-58 untuk kemenangan mutlak India. – MalaysiaGazette