Home Utama Status pagar besi Bazar Aidilfitri Jalan TAR akan diputuskan Datuk Bandar –...

Status pagar besi Bazar Aidilfitri Jalan TAR akan diputuskan Datuk Bandar – Shahidan

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (kiri) melihat pelbagai jenis kuih-muih yang dijual semasa mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah akan memutuskan sama ada pagar besi yang dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tapak Bazar Aidilfitri Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) akan dikekalkan atau sebaliknya.

Perkara itu ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, keperluan pemasangan pagar itu untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) namun ia akan diteliti semula sama ada wajar atau tidak dilaksanakan.

“Ya, tentang isu ini Datuk Bandar sedang ambil tindakan yang sewajarnya dan kita nak tengok pilihan yang terbaik supaya kita boleh selamatkan keadaan tetapi kalau kita dapati pagar ini memang tidak sesuai dan tidak diperlukan kita bukalah esok, kita sudah pesan.

“Saya juga ingin nasihatkan kepada orang ramai jangan mengeluarkan kenyataan yang boleh merugikan diri anda pada bulan mulia ini disebakan isu ini.

“Pemasangan pagar ini juga dilakukan adalah untuk jaga SOP anda,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan memberikan sumbangan kepada pengunjung Bazar Ramadan Desa Pandan hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2022.

Beliau juga menegaskan bahawa orang ramai perlu mematuhi SOP ke bazar Ramadan dengan memakai pelitup muka serta mengimbas MySejahtera.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette akan mendapatkan maklum balas lebih terperinci bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung isu ini.

Semalam, para peniaga di Bazar Aidilfitri Jalan TAR berasa kecewa dan terkilan dengan tindakan DBKL kerana masih memasang pagar besi yang ketinggiannya melepas paras kepala di kawasan berkenaan.

Keadaan sekitar kawasan bazar selepas peniaga tidak berpuas hati dengan isu pemasangan pagar di kawasan tapak bazar di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 APRIL 2022.

Rata-rata peniaga berpandangan pemasangan pagar itu bukan satu keperluan kerana negara kini dalam peralihan fasa endemik pada 1 April lalu.

Pada Februari lalu, Mahadi memaklumkan Bazar Aidilfitri Jalan TAR akan beroperasi seperti biasa mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Tambah beliau, pihaknya akan melonggarkan sedikit kawalan SOP di tapak bazar berkenaan berbanding tahun lepas termasuk tidak lagi memasang pagar di sekeliling kawasan itu.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan menetapkan penjarakan fizikal antara gerai penjaja tetap dilaksanakan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Buka pagar besi, jangan kurung peniaga Bazar Aidilfitri Jalan TAR macam penjara