JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memuktamadkan calon ketua pembangkang di negeri tersebut.
Selain PH, isu pemimpin pembangkang juga melibatkan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai tiga kerusi.
Pembangkang pada masa yang sama berharap pemimpin mereka diberi pengiktirafan secara rasmi, termasuk menikmati kemudahan pejabat dan kereta rasmi.
Oriental Daily melaporkan, PH masih berunding mengenai calon pemimpin pembangkang dan nama tersebut dijangka diumumkan sebelum mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pada 21 April.
Memandangkan jawatan itu wajar diisi oleh wakil dari parti pembangkang yang mempunyai kerusi paling banyak, maka besar kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong akan dilantik sebagai ketua pembangkang.
“Mengikut keadaan biasa, perlantikan pemimpin pembangkang tidak akan dimasukkan dalam agenda mesyuarat DUN, tetapi kali ini adalah diharapkan status pemimpin pembangkang akan diiktiraf.
“Ini termasuk menyediakan pejabat untuknya di dalam bangunan DUN, menggaji pembantu untuknya, dan memberi kereta rasmi kepadanya,” kata sumber.
Dalam pilihan raya negeri lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 40 kerusi manakala PH menang 12 kerusi termasuk DAP 10 kerusi dan masing-masing satu kerusi daripada PKR dan Amanah.
Selain itu, MUDA juga menang satu kerusi manakala PN menang tiga kerusi, iaitu dua melalui Bersatu dan satu melalui Pas.
Isu mengenai pemimpin pembangkang justeru memerlukan rundingan antara PH dengan PN, sementara MUDA mempunyai hubungan kerjasama dengan PH. – MalaysiaGazette