Home Utama Amang seksual anak kandung: Bapa dijel 14 tahun, empat sebatan

Amang seksual anak kandung: Bapa dijel 14 tahun, empat sebatan

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini.

MELAKA – Perbuatan jijik bapa tujuh anak yang sanggup melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya empat tahun lalu terbalas.

Ia selepas suspek dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh yang berusia 46 tahun itu dijatuhkan di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin sebaik sahaja tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Maziah, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang sewaktu kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan.

Tindakan itu dilakukannya pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai di Melaka Tengah di antara pertengahan sehingga akhir bulan Oktober 2018.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen 14(d) AKSTK memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat dan di bawah Seksyen 16(1) penjara maksimum lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang dua sebatan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua di hadapan Nariman, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama yang ketika itu telah berusia 11 tahun sekitar pukul 2.30 pagi di alamat sama pada 23 November 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat serta penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 23 November 2021, mangsa memberitahu pengadu iaitu ibunya mengenai kejadian badannya dihimpit ketika tidur dan sebaik sahaja tersedar dia ternampak ayahnya bergegas bangun dan keluar sambil menghulurkan RM50 namun tidak diambilnya.

Pengadu bertanyakan hal itu kepada tertuduh sebelum berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menarik rambut serta memukul pengadu.

Tertuduh kemudian menghantar pesanan kepada pengadu meminta maaf dengan berkata “Abang minta maaf, abang macam kena rasuk pagi tadi bukan abang nak makan anak sendiri. Nasib abang terus sedar tak buat benda yang tak baik”.

Maziah dan Nariman kemudian masing-masing menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.

Hukuman diperintahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 24 November 2021.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N. Sivashangari.- MalaysiaGazette