SELEPAS dua tahun tiada bazar Ramadan akibat pandemik Covid-19, Ramadan tahun ini paling ditunggu-tunggu seluruh umat Islam.
Di negeri masing-masing, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertungkus lumus menyediakan pelan, mencari lokasi sesuai untuk dijadikan tapak bazar Ramadan sepanjang sebulan puasa ini.
Sehari sebelum Ramadan, jelas terpapar kegembiraan di wajah umat Islam, kerana dapat bergerak bebas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membeli juadah berbuka.
Namun, pada hari pertama puasa, kegembiraan tiba-tiba bertukar kesedihan. Bazar Ramadan mereka hanya sekadar indah khabar dari rupa.
Kecacatan dan keralatan itu bukan saja berlaku pada lokasi dan tapak, malah pengurusannya sekali yang dilihat agak teruk.
Pelbagai kelemahan dikesan dan banyak maklum balas negatif dilontarkan terutama oleh masyarakat umum dan netizen menerusi laman media sosial.
Hal ini berlaku di Kelantan, Melaka dan ibu kota Kuala Lumpur.
Paling teruk keadaan sebuah bazar Ramadan dalam satu kawasan PBT di Kelantan.
Bazar ini tular di media sosial sejak semalam dan menerima kecaman para netizen.
Keadaan bazarnya kalau dilihat saling tak tumpah seperti kandang lembu atau lebih tepat tempat kerbau berkubang.
Namun, peniaga tiada pilihan, mereka terpaksa juga berniaga kerana telah membayar sewa yang mahal semata-mata untuk dapatkan gerai di situ.
Difahamkan, sewa tapak gerai dikenakan sebanyak RM500, tetapi jika situasi itu berterusan, sukar untuk mereka mendapat semula pulangan modal, apatah lagi untung.
Hari pertama pengunjung datang ke bazar ini, mereka perit dan tidak akan datang lagi kerana pergerakan mereka terbatas, dari satu gerai ke satu gerai.
Apa tidaknya, struktur tanahnya bukan setakat tidak rata, lokasi itu dipenuhi dengan lubang berlecak dan becak, selain takungan air dan selut.
Timbul persoalan, macam mana pegawai yang terlibat dalam proses menyediakan lokasi boleh lulus tapak berkenaan sebagai bazar Ramadan?
Apakah ketika memantau kerja penyediaan tapak itu, mereka tidak dapat merasakan lokasi itu dari segi spesifikasinya tidak sesuai dijadikan bazar Ramadan kerana tanahnya lecak?
Sudah tentu orang ramai tidak dapat bergerak lancar dari gerai ke gerai kerana jalannya lecak, berlubang, bertakung air dan sebagainya?
Atas kriteria apa mereka boleh lulusnya sebagai tapak bazar dengan tanah disodok sambil lewa, khemah dipasang tidak tersusun dan persekitarannya penuh dengan kesan tayar jentera?
Mereka nampak takungan air, jalan lecak dan becak, tetapi kenapa tidak ditimbus dengan batu kerikil supaya kelihatan elok dan memberi keselesaan kepada peniaga serta pengunjung?
Takut untuk keluarkan modal untuk kerja menambun? Baik jangan jadi penganjur bazar Ramadan kalau sekadar memikirkan keuntungan semata-mata.
Kena ingat, Kelantan bukan calang-calang negeri, negeri bergelar Serambi Mekah. Pentadbiran tidak memikirkan dunia semata-mata, mengajak rakyat lebih kepada akhirat.
Di MELAKA pula, penyewa premis perniagaan di Jalan Hang Tuah menzahirkan rasa kecewa dengan sikap agensi kerajaan membenarkan khemah bazar Ramadan dipasang hadapan kedai mereka sehingga menghalang pandangan pengunjung.
Keadaan itu menyebabkan perniagaan mereka terjejas kerana tiada laluan antara khemah untuk pengunjung ke kedai berkenaan, selain sukar mendapatkan tempat letak kereta.
Kalau berdiri dari jalan utama, kedai mereka langsung tak nampak, sedangkan sepatutnya agensi kerajaan kena bertanggungjawab sebelum meluluskan bazar Ramadan di kawasan itu.
Mereka tidak marahkan penganjur, sebaliknya meluahkan apakah nasib mereka sebagai penyewa bangunan kedai yang seolah-olah dianaktirikan untuk mencari rezeki di bulan mulia ini.
Mereka berharap tahun depan, pihak berwajib kena lihat semula bagaimana penganjuran bazar itu dapat dilakukan, jangan hanya berbincang dengan sebelah pihak sahaja.
Di KUALA LUMPUR juga turut terkesan dengan sikap pengurusan PBT yang dilihat bertindak tanpa memikirkan akibat daripada tindakan diambil.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan tapak untuk bazar Ramadan di ibu kota, satu tindakan yang terpuji demi membolehkan rakyat terutama B40 mencari rezeki.
Namun, selepas sediakan tapak dan khemah, DBKL memasang pagar pula di sekeliling bazar itu, seolah mengurung mereka di situ dengan juadah tidak dapat dijual.
Macam mana nak jual kalau pengunjung tidak dapat masuk dan bergerak dari gerai ke gerai akibat gangguan pagar.
Kononnya, pagar besi itu dipasang sebagai langkah mematuhi SOP Covid-19.
Namun, selepas mendengar runggutan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah akan memutuskan sama ada pagar besi itu akan dikekalkan atau sebaliknya.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang melihat keperluan memasang pagar itu adalah untuk pematuhan SOP, bukan nak menyusahkan peniaga dan pengunjung.
Katanya, ia akan diteliti semula sama ada wajar atau tidak dan keputusannya akan diputuskan hari ini. – MalaysiaGazette
Ini doa salah mintak .kena tanya pas lah .tentu ada jawapan yang muktamad .