Home Nasional Hentikan sementara aktiviti di perairan Mersing – Sultan Johor

Hentikan sementara aktiviti di perairan Mersing – Sultan Johor

Sultan Ibrahim Iskandar

MERSING – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan agar kesemua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu.

Titah itu ekoran kehilangan empat orang penyelam di sekitar Pulau Tokong Sanggul berhampiran Pulau Sibu semalam.

“Saya mahu kesemua aktiviti menyelam dihentikan sementara sehingga kita dapat kenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada mereka. Aktiviti menyelam tidak boleh diteruskan jika tahap keselamatan diragui.

“Peraturan-peraturan aktiviti menyelam oleh pihak berkuasa juga mesti dikaji semula secara menyeluruh sebelum ia boleh dibenarkan beroperasi semula,” titahnya seperti dinyatakan kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, peraturan yang telah dikaji semula juga perlu diumumkan bagi mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelancong.

Semalam, empat penyelam warga asing, dipercayai hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor tengah hari tadi.

Bagaimanapun, kira-kira 12.05 minit tengah hari tadi seorang penyelam warga negara Norway, Kristine Grodem, 35,  ditemui selamat dibawa menaiki helikopter dari unit udara APMM di Stadium Mini Mersing.

Jurulatih penyelam itu kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan lanjut dan dalam keadaan baik selepas dilihat mampu berjalan sendiri selepas turun helikopter.

Penyelam yang hilang merupakan seorang lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 dan anaknya warga Belanda, Nathan Renze, 14. Seorang lagi wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18. Kesemua mereka mempunyai lesen menyelam sementara Kristine merupakan jurulatih.- MalaysiaGazette