KUALA LUMPUR – Kelompongan dalam Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pembentangannya di dewan Rakyat.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak seharusnya menangguhkan perbentangan RUU berkenaan, malah ia harus disegerakan.
“Kita percaya pada peringkat awal penggubalan Akta Anti-Lompat Parti ini berkemungkinan mempunyai kelompongan, namun ia tidak patut dijadikan alasan untuk tidak menyegerakan pembentangan dan perbahasan mengenai akta ini.
“Penambahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Salahuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, RUU ini harus disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) mengambil tempat.
“Sebagai jaminan terhadap kelancaran demokrasi negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi,” ujarnya.
Wan Junaidi semalam dilaporkan berkata, RUU itu dikembalikan supaya kajian dapat dibuat berkaitan takrif “lompat parti”.
Bagaimanapun, persidangan Dewan Rakyat pada Isnin ini tetap diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan yang bertujuan memudahkan RUU itu dibentangkan kelak. – MalaysiaGazette